Melaka Tengah kini zon merah

A
A
A

PUTRAJAYA - Daerah Melaka Tengah di Melaka menjadi lokasi terbaharu diisytiharkan sebagai zon merah apabila kes positif jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) meningkat kepada 44 kes di kawasan itu.

Penambahan satu lagi kawasan itu menjadikan jumlah keseluruhan zon merah kini meningkat kepada 26 lokasi.

Selain Melaka Tengah, Jasin merupakan daerah terawal di negeri itu yang diletakkan dalam kategori merah dan kini kes positif Covid-19 di kawasan tersebut telah mencecah 61 kes.

Menerusi data yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat jam 12 tengah hari kelmarin, Lembah Pantai, Kuala Lumpur kekal merekodkan jangkitan positif tertinggi iaitu 427 kes.

Kawasan kedua tertinggi pula adalah Hulu Langat yang kini berada dalam Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) dengan 368 kes dan diikuti Petaling dengan 328 kes.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang sepatutnya berakhir 14 April ini dilanjutkan dua minggu lagi bermula 15 hingga 28 April hadapan.

Bercakap melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui media rasmi kerajaan, Muhyiddin menegaskan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada petugas kesihatan untuk memerangi sepenuhnya penularan pandemik itu.

Artikel Berkaitan: