Polis tutup laluan tikus cegah Covid-19

Beberapa laluan tikus ditutup demi menghalang orang awam masuk ke daerah Baling dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Beberapa laluan tikus ditutup demi menghalang orang awam masuk ke daerah Baling dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
A
A
A

BALING - Beberapa laluan tikus ditutup untuk menghalang orang awam masuk ke daerah ini dalam usaha mencegah penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya bertindak membuat penutupan beberapa jalan itu disebabkan bilangan kes di daerah Kuala Muda dan Kulim yang tinggi.

Syed Basri berkata, polis menutup lorong tikus ke Kuala Muda dan Kulim yang dijadikan laluan kenderaan pada petang semalam.

"Jadi, orang ramai tidak lagi boleh melalui jalan tikus bagi mengelak diperiksa dalam sekatan jalan raya.

"Kita bertindak tegas demi menyekang penularan wabak itu dan semua kenderaan terpaksa melalui sekatan pemeriksaan untuk ke Sungai Petani dan Kulim," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha berkenaan diambil bagi memastikan orang luar tidak dapat menceroboh masuk ke daerah ini, sekaligus perlu mengikut jalan utama yang memiliki sekatan sekiranya ingin masuk.

"Antara lain, polis turut menutup Jalan Gulau ke Sik melalui Tanjung Pari semalam dan orang awam yang ingin masuk ke Baling perlu menggunakan Jalan Batu Lima ke Parit Panjang,"katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, pihaknya akan membuat pemeriksaan demi memastikan individu yang layak dari segi kesihatan dan dibenarkan oleh undang-undang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja boleh masuk.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, polis akan memperketatkan semua pintu masuk ke Baling memandangkan daerah ini masih lagi terkawal dan sehingga ini seramai 32 orang ditangkap kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).