Sumbang 488 tudung kepala Hospital Balik Pulau

Pengarah Hospital Balik Pulau, Dr Jeremy Rodney Davis menerima PPE hasil jahitan Kakitangan GIATMARA Pulau Pinang.
Pengarah Hospital Balik Pulau, Dr Jeremy Rodney Davis menerima PPE hasil jahitan Kakitangan GIATMARA Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Prihatin dengan kakitangan hospital dalam menguruskan kes melibatkan wabak koronavirus (Covid-19), Pusat GiatMara Balik Pulau menyumbang 488 tudung kepala (hoodies) kepada Hospital Balik Pulau.

Pengarah GiatMara Pulau Pinang, Harun Radzi berkata, program khidmat sosial masyarakat (CSR) itu melibatkan enam kakitangan iaitu dari Pusat GiatMara Balik Pulau selain dibantu oleh Pusat GiatMara Gelugor dan Tanjung.

Menurutnya, projek yang bermula dari 31 Mac hingga 8 April itu diketuai Pengurus GiatMara Balik Pulau, Mohamed Najib Ghani.

"Idea asal dalam menjalankan projek ini adalah dari Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Nuriman Yusof kepada negeri-negeri dan ia direalisasikan oleh empat tenaga pengajar dan dibantu dua pembantu tadbir dari Pusat GiatMara Balik Pulau, Gelugor dan Tanjung.

"Peralatan Perlindungan Diri (PPE) ini diserahkan kepada Hospital Balik Pulau untuk digunakan kakitangan hospital ketika menangani pesakit Covid-19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Beliau berkata, penyerahan tudung kepala pakai buang itu dibuat secara berperingkat iaitu 65 helai pada 1 April, 250 pada 6 April dan 73 helai pada 7 April.

Kakitangan Pusat GiatMara Balik Pulau sedang giat menyiapkan tudung kepala yang akan diserahkan kepada Hospital Balik Pulau.
Kakitangan Pusat GiatMara Balik Pulau sedang giat menyiapkan tudung kepala yang akan diserahkan kepada Hospital Balik Pulau.

"Pada awalnya, hanya 18 helai dapat disiapkan dalam tempoh sehari namun setelah semakin mahir, mereka mampu menyiapkan 91 helai dalam sehari. Buat masa ini, kita berhenti sekejap kerana bekalan PPE itu mencukupi. Kumpulan ini akan mula menjahit semula selepas bekalan di hospital mula kurang.

Artikel Berkaitan:

"Tudung kepala ini menggunakan fabrik khas dan bekalan fabrik tersebut amat terhad kerana permintaan tinggi. Bagaimanapun, kita akan usaha dalam memastikan bekalan fabrik ini sentiasa ada untuk dijahit dan diserahkan kepada hospital selepas bekalan tudung kepala berkurangan," katanya.

Katanya, kesemua tudung kepala itu diserahkan kepada Pengarah Hospital Balik Pulau, Dr Jeremy Rodney Davis dua hari lalu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Pusat GiatMara Kepala Batas dan Nibong Tebal sedang menunggu material bagi menghasilkan baju khas perubatan (gown) yang akan diserahkan kepada seluruh hospital di Pulau Pinang nanti.