[LAPORAN KHAS] Peniaga burger raih pendapatan ketika PKP

Bapa Muhammad Faisal, Mohamad Roslan Mohamed Sokur, 52, menyediakan tempahan burger pelanggannya di rumah.
Bapa Muhammad Faisal, Mohamad Roslan Mohamed Sokur, 52, menyediakan tempahan burger pelanggannya di rumah.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan bermakna berakhirnya sumber rezeki buat seorang peniaga burger di Seksyen 24 di sini.

Muhammad Faisal Mohamad Roslan, 22, yang menyambung legasi perusahaan keluarganya berkata, sejak pelaksanaan PKP, dia mengambil peluang berniaga melalui Facebook Komuniti Seksyen 24 dan grup WhatsApp.

“Sepanjang siri pertama PKP, kami sekeluarga meraih pendapatan sampingan lebih RM300 sehari,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, memasuki siri kedua PKP, penghantaran burger terpaksa dihentikan kerana kawalan ketat yang dilaksanakan pihak polis.

“Dalam tempoh itu, pelanggan yang inginkan burger jualan kami perlu menempah dan mengambilnya di rumah,” katanya.

Mengambil maklum bahawa tiada bazar Ramadan akan dibuka di Selangor, keluarga Muhammad Faisal yang sudah 22 tahun berniaga burger berkata, mereka sekeluarga mungkin akan meneruskan perkhidmatan jualan mereka pada bulan Ramadan nanti.

“Insya-ALLAH, saya ada bercadang untuk menjual roti john kerana menu itu menjadi pilihan untuk berbuka puasa. Konsep yang sama juga kami akan lakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Faisal berkata, peniaga atau penjaja perlu bertindak kreatif dan proaktif dalam usaha memasarkan produk jualan mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelbagai cara boleh dilakukan termasuklah cara yang digunakannya pada ketika ini.

“Jualan dalam talian ini sudah terbukti. Rebutlah peluang untuk kita jana ekonomi sendiri,” katanya.