Lebih 13,000 etnik Rohingya berada di Kelantan - Polis

KOTA BHARU - Lebih 13,000 etnik Rohingya dipercayai berada di negeri ini termasuk kira-kira 8,000 individu yang tidak memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini seramai 5,373 etnik Rohingya direkodkan memiliki kad UNHCR, manakala baki dianggarkan berada di negeri ini tanpa dokumen berkenaan.
Menurut beliau, jumlah itu diperoleh hasil pemantauan berterusan yang dijalankan polis menerusi Cawangan Khas (SB) terhadap pergerakan dan aktiviti komuniti Rohingya di Kelantan.
"Setakat yang direkodkan, seramai 5,373 Rohingya memiliki kad UNHCR.
"Bagaimanapun, kita menganggarkan terdapat kira-kira 8,000 lagi yang berada di Kelantan tanpa memiliki kad tersebut," katanya semasa sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinten (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.
Beliau memberitahu, Kota Bharu dikenal pasti sebagai daerah yang mempunyai populasi Rohingya paling ramai di negeri ini iaitu di Ketereh, Melor dan Kok Lanas.
Menurutnya, kawasan lain yang turut menjadi tumpuan ialah Padang Siam di Tanah Merah, Bunut Susu, Pasir Mas dan Pasir Puteh.
"Mereka tinggal secara berselerak dan bebas di kawasan tertentu, terutama mereka yang memiliki kad UNHCR," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff memberitahu, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 412 kes melibatkan 825 tangkapan etnik Rohingya direkodkan.
"Jumlah itu lebih tinggi berbanding keseluruhan tahun lalu yang mencatatkan 277 kes dengan 723 tangkapan.
"Ini menunjukkan cubaan memasuki Malaysia masih berada pada tahap tinggi," katanya.
Ujar beliau, secara keseluruhan sebanyak 689 kes melibatkan 1,548 tangkapan etnik Rohingya direkodkan sepanjang tahun lalu hingga Mei tahun ini.
Menurutnya, majoriti tangkapan membabitkan kesalahan imigresen dengan 384 kes dan 789 tangkapan direkodkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
"Selain itu, terdapat 16 kes penyeludupan migran membabitkan 21 tangkapan dan lapan kes jenayah harta benda seperti curi, pecah rumah serta samun melibatkan lapan tangkapan.
"Bagi jenayah kekerasan pula, empat kes direkodkan membabitkan tujuh tangkapan," katanya.
Menurut Mohd Yusoff, setakat ini tiada penglibatan etnik Rohingya dalam kes dadah atau jenayah berat direkodkan di Kelantan.
Beliau menjelaskan kebanyakan kes jenayah yang berlaku melibatkan kesalahan imigresen serta pergaduhan sesama sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

