Syarikat digesa segera daftar SKDS, mohon kad Fleet

KOTA KINABALU - Syarikat pengangkutan darat barangan dan awam digesa untuk segera mendaftar dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta mendapatkan kad Fleet bagi membolehkan mereka terus menikmati manfaat subsidi diesel yang disediakan kerajaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, seperti yang diumumkan sebelum ini, permohonan pendaftaran untuk menyertai SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan telah diperluaskan bermula 4 Mei lalu.
Menurutnya, sebaik sahaja permohonan diluluskan menerusi sistem yang dikawal selia oleh KPDN, syarikat terbabit boleh memohon kad Fleet daripada syarikat minyak pilihan masing-masing, termasuk SmartPayFleet Card Petronas.
"Sejak pelaksanaan SKDS, khususnya bagi sektor pengangkutan darat awam yang dimulakan lebih awal, sehingga pelaksanaan bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan, status pendaftaran semasa bagi Sabah melibatkan 3,922 syarikat dengan 14,415 kenderaan.
"Bagi Sarawak pula, sebanyak 3,869 syarikat telah mendaftar melibatkan 14,447 kenderaan, manakala Labuan mencatatkan 269 syarikat dengan 769 kenderaan.
"Jumlah keseluruhan sehingga 14 Jun adalah 8,060 syarikat yang telah mendaftar, melibatkan 29,631 kenderaan," katanya dalam sidang akhbar sempena penyerahan SmartPayFleet Card di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Armizan menjelaskan kepentingan pendaftaran SKDS kepada pengusaha dan syarikat dalam kedua-dua sektor berkenaan.
"Antara manfaatnya ialah membolehkan syarikat yang layak terus menikmati subsidi diesel melalui mekanisme kad Fleet. Seperti yang kita tahu, bagi sektor pengangkutan darat barangan, mereka hanya perlu membayar RM2.15 seliter berbanding harga pasaran diesel.
"Bagi sektor pengangkutan darat awam, kadar subsidi yang diberikan adalah lebih rendah iaitu RM1.88 seliter.
"Jadi, itulah manfaat yang diperoleh apabila syarikat-syarikat dalam sektor pengangkutan darat awam dan barangan mendaftar di bawah SKDS serta memiliki kad Fleet untuk digunakan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan penggunaan wajib SKDS dan kad Fleet telah pun berkuat kuasa di Semenanjung, manakala bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, tarikh penguatkuasaan akan diumumkan kemudian.
"Selepas ini, sekiranya syarikat mahu kenderaan mereka terus mendapat manfaat subsidi diesel, mereka perlu mendaftar SKDS dan mempunyai kad Fleet.
"Jadi, tarikh penguatkuasaan itu akan diumumkan kelak. Namun apa yang penting sekarang, jangan tunggu terlalu lama. Semua syarikat yang berkelayakan perlu mengemukakan permohonan dengan segera.
"Itulah sebabnya kita telah membuka permohonan sejak Mei lalu. Jadi daftarlah segera kerana proses permohonan telah dipermudahkan," katanya.
Menurut beliau, permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal MySubsidi yang diwujudkan oleh KPDN.
"Insya-ALLAH, kita telah mengintegrasikan sistem ini dengan agensi berkaitan, termasuk Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah. Prosesnya kini lebih mudah dan sekiranya dokumen lengkap dikemukakan, kelulusan dapat diproses dengan lebih cepat.
"Selepas mendapat kelulusan dalam sistem, syarikat perlu memohon kad Fleet daripada syarikat minyak pilihan iaitu Petronas, Petron atau Shell yang menawarkan kemudahan tersebut di Sabah.
"Berdasarkan pengalaman dan pelaksanaan sebelum ini, syarikat-syarikat minyak juga akan berusaha memastikan kad Fleet dapat dibekalkan kepada syarikat yang diluluskan dalam kadar segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
