Dalam proses mohon kad UNHCR alasan warga asing elak dicekup

Warga asing yang mendakwa sedang memohon kad UNHCR bagi mengelak ditahan pihak berkuasa. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Warga asing yang mendakwa sedang memohon kad UNHCR bagi mengelak ditahan pihak berkuasa. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SELAYANG – "Saya sedang dalam proses memohon kad UNHCR, keadaan negara asal saya bermasalah."

Itu dakwa seorang lelaki warga asing ketika ditahan dalam pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di sebuah flat tiga tingkat di Batu Caves di sini pada Ahad.

Lelaki terbabit yang tinggal bersama isteri serta dua orang anaknya cuba menjelaskan status dirinya kepada pegawai penguat kuasa selepas dokumen perjalanan miliknya diperiksa dalam operasi berkenaan.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati pasport lelaki itu telah tamat tempoh selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

Flat tiga tingkat mempunyai empat unit kediaman dengan setiap tingkat menempatkan dua rumah yang dipercayai disewa kepada warga asing dan tempatan. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Flat tiga tingkat mempunyai empat unit kediaman dengan setiap tingkat menempatkan dua rumah yang dipercayai disewa kepada warga asing dan tempatan. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Tinjauan Sinar Harian mendapati flat tiga tingkat berkenaan mempunyai empat unit kediaman dengan setiap tingkat menempatkan dua buah rumah yang dipercayai disewakan kepada warga asing dan tempatan.

Difahamkan, setiap unit rumah terbabit dipercayai disewakan pada kadar kira-kira RM600 sebulan oleh pemilik yang dipercayai merupakan warga tempatan.

JIM Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pemeriksaan dijalankan melibatkan sebuah bangunan tiga tingkat yang dipercayai mempunyai unit rumah yang disewakan kepada warga asing.

Artikel Berkaitan:

"Sembilan warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan dan kesemuanya ditahan untuk tindakan lanjut.

Setiap unit rumah terbabit dipercayai disewakan pada kadar kira-kira RM600 sebulan oleh pemilik yang dipercayai merupakan warga tempatan. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Setiap unit rumah terbabit dipercayai disewakan pada kadar kira-kira RM600 sebulan oleh pemilik yang dipercayai merupakan warga tempatan. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki Pakistan, seorang kanak-kanak lelaki Pakistan, seorang wanita Pakistan, seorang kanak-kanak perempuan Pakistan, empat lelaki warga Sri Lanka dan seorang lelaki warga Bangladesh," katanya.

Menurutnya, hasil semakan mendapati sebahagian daripada mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Katanya, terdapat juga individu yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap pendatang asing yang melanggar peruntukan undang-undang imigresen negara,” katanya.

Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Tambah kenyataan itu, orang ramai termasuk pemilik premis diingatkan supaya tidak melindungi atau menyewakan kediaman kepada warga asing yang tidak memiliki dokumen sah.

"Tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi atau membantu pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di negara ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!