Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan

A
A
A

MACAM orang lain juga, Awang dah duga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan oleh kerajaan. Tan Sri Perdana Menteri umumkan PKP sampai 28 April ini. Awang tak berani nak ramal apakah ia akan dilanjutkan selepas itu. Semuanya bergantung pada keadaan.

Tan Sri Perdana Menteri juga ada sebutkan tentang the new normal atau kebiasaan yang baharu walaupun selepas PKP. Kita tidak lagi boleh bersalaman atau berkumpul seperti selalu. Tahun ini umat Islam tidak dapat menunaikan solat tarawih di masjid atau surau. Hari Raya Aidilfitri pun belum tentu pergerakan balik kampung beramai-ramai boleh kita buat.

Pada waktu yang sama, Awang sebetulnya terkejut dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador dalam akhbar ini. Katanya, PDRM telah kenal pasti seramai 83,000 individu yang punya kontak rapat dengan pesakit Covid-19 di seluruh negara. Daripada jumlah itu, seramai 61,000 rakyat tempatan, selebihnya warga asing.

Mereka semua individu yang berisiko tinggi menurut sistem data polis. Mereka ini perlu dipantau sepanjang masa. Mereka boleh menjadi masalah besar sekiranya tanpa pemantauan. Mereka terdiri daripada anggota keluarga terdekat, jiran dan sahabat yang ada kontak dengan pesakit. Bayangkan jikalau orang seramai itu tidak mematuhi PKP atau peraturan kuarantin.

Dalam hal Covid-19, memang banyak pengorbanan diperlukan. Pada waktu yang sama, kejujuran sangat penting. Macam sebilangan daripada ahli kumpulan tabligh yang masih belum menyerah diri untuk diuji. Mereka membahayakan diri, ahli keluarga dan orang lain.

Tak ada kerja mana duitnya?

Memang senang pemimpin kita kata ikut arahan PKP. Jangan keluar rumah. Tapi tahukah kita keadaan hidup dan persekitaran mereka? Berapa ramai duduk serumah? Berapa sesaknya kawasan kediaman mereka?

Kita arahkan jangan keluar kerja. Bagi mereka yang makan gaji tak apalah. Duduk rumah gaji jalan tapi bagi mereka yang bekerja sendiri bagaimana?

Golongan pekerja sendiri inilah yang paling teruk dalam menghadapi keadaan, inikan pula enam minggu tak bekerja.

Artikel Berkaitan:

Memanglah kerajaan ada bantu orang macam Mak Cik Kiah yang goreng pisang tapi berapa lama Mak Cik Kiah boleh bertahan dengan bantuan seperti itu. Banyak lagi orang macam Mak Cik Kiah yang menderita dalam diam.

Orang Melayu khususnya tak ada amalan menyimpan untuk masa depan. Bukan kebanyakan mereka tak mahu menyimpan tapi pendapatan yang ada hanya cukup untuk makan, bayar bil dan sekolahkan anak. Pendapatan mereka bukan banyak mana. Banyak yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Awang tak terperanjat apabila Ketua Perangkawan Malaysia baru-baru ini dedahkan kajian yang dibuat oleh jabatannya. Kajian itu berdasarkan lebih 168,000 responden.

Menurut kajian Jabatan Perangkaan Negara, sebanyak 71.4 peratus rakyat Malaysia yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang mencukupi untuk kurang daripada sebulan.

Orang yang seperti inilah yang paling parah menghadapi keadaan tidak menentu semasa PKP.