Kebakaran longgokan sampah berhampiran UIAM masuk hari kedua

Anggota JBPM bertungkus-lumus memadam kebakaran kawasan longgokan sampah berhampiran UIAM yang memasuki hari kedua pada Jumaat. Foto: JBPM Selangor
Anggota JBPM bertungkus-lumus memadam kebakaran kawasan longgokan sampah berhampiran UIAM yang memasuki hari kedua pada Jumaat. Foto: JBPM Selangor
A
A
A

GOMBAK - Kebakaran longgokan sampah berhampiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang memasuki hari kedua pada Jumaat berjaya dipadam 50 peratus.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 10.59 pagi, Khamis.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang telah dikejarkan ke lokasi selain dibantu keanggotaan dari Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta pejabat kesihatan.

"Kebakaran melibatkan longgokan sampah berkeluasan 100x100 kaki persegi dan kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan.

"Laporan terkini pada jam 2.40 petang hari ini (Jumaat), 50 peratus kebakaran berjaya dipadamkan menggunakan kaedah 'relay pumping'," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, pasukan bomba turut mendapat bantuan sebuah unit excavator daripada MPS.

Katanya, operasi pemadaman baki lagi 50 peratus kawasan terjejas masih lagi dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!