Ingkar PKP: 40 individu didakwa di KL, Negeri Sembilan

Foto fail
Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari ke-24 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, seramai 40 individu termasuk dua remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini dan di Negeri Sembilan.

Ada yang mengaku bersalah dan ada mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain, dalam kawasan jangkitan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Di Mahkamah Majistret Selayang, juruukur Zamli Abd Halim, 45, didenda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan kerana masuk ke kawasan masjid atas alasan ingin beribadat dalam tempoh PKP.

Majistret Nur Hafizah Rajuni juga menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara tiga bulan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah menceroboh masuk ke kuarters dalam masjid itu.

Tertuduh didakwa dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan munasabah yang mana dia sepatutnya berada di dalam rumah dalam tempoh PKP.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Masjid Al-Syakirin Gombak di sini pada jam 10.45 pagi, 4 April lepas mengikut Peraturan 3(1) peraturan sama dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda yang boleh sampai RM5,000 atau kedua-duanya.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, seramai 24 individu termasuk warganegara asing didenda RM800 hingga RM1,000 atau penjara satu minggu hingga lima minggu selepas mereka mengaku bersalah melanggar PKP antaranya dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain di dalam kawasan tempat jangkitan dan berhimpun dalam kawasan sama.

Kesemua tertuduh berkenaan yang berumur antara 20 hingga 40 tahun didakwa melakukan kesalahan tersebut di lokasi berasingan sekitar Bukit Bintang, Titiwangsa, Cheras dan Bangsar antara 3 April hingga 9 April.

Artikel Berkaitan:

Di Mahkamah Majistret Ampang, seorang tukang sapu warganegara Bangladesh, Md Moniruzzaman, 35, dipenjara sebulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan bergerak dari satu kawasan jangkitan ke tempat jangkitan lain dan penjara dua bulan kerana tidak memiliki pas yang sah untuk masuk ke Malaysia.

Majistret Farah Nasihah Annuar memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 4 April lepas.

Bagi kesalahan tidak memiliki pas, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih dari enam sebatan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu semasa sekatan jalan raya Ops Covid-19 di Ampang Desa 288 jam 3 petang, 4 April lalu.

Seramai 14 lelaki termasuk dua remaja bawah umur, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas dua pertuduhan iaitu ingkar PKP dan bermain judi.

Kesemua tertuduh berusia lingkungan 17 hingga 24 tahun itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Rahimah Rahim.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didapati berhimpun dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan, mengikut Peraturan 6(1) peraturan sama di hadapan sebuah rumah di Taman Desa Pelangi, Mantin, dekat sini jam 1.30 pagi, 8 April lepas.

Mereka juga dituduh berjudi di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan boleh dihukum di bawah seksyen serupa yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan 12 tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin manakala dua remaja diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Jun untuk sebutan semula kes. - Bernama