X

Kindly register in order to view this article
!

Arab Saudi bawa pulang 80 rakyat Malaysia terkandas

Hishammuddin
A
A

SHAH ALAM - Seramai 80 rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi susulan penggantungan penerbangan dan sekatan perjalanan oleh kerajaan negara itu akibat koronavirus (Covid-19) akan pulang ke tanah air malam ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pesawat dinaiki mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 12.30 tengah malam ini.

"Mereka akan pulang dengan menaiki sebuah pesawat khas Saudi Arabian Airlines yang ditaja oleh kerajaan Arab Saudi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, turut akan pulang menaiki pesawat itu ialah empat rakyat Brunei, seorang rakyat Indonesia dan Singapura serta dua warga Syria yang bertaraf penduduk tetap.

"Kerajaan Malaysia difahamkan bahawa pesawat yang sama turut digunakan oleh kerajaan Arab Saudi untuk membawa pulang rakyat mereka yang terkandas di Malaysia," katanya.

Hishammuddin turut merakamkan penghargaan bagi pihak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, barisan kepimpinan kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia kepada kerajaan Arab Saudi khususnya Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud kerana membantu Malaysia di saat getir.

"Terima kasih juga kepada Putera Mahkota merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang amat prihatin demi memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi dijaga dengan baik.

"Saya juga secara peribadi turut berterima kasih kepada Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud kerana sewaktu sidang video kami pada tiga minggu lalu, Putera Faisal telah menyuarakan tekad Arab Saudi untuk berjuang bersama-sama Malaysia sepanjang krisis Covid-19," katanya.

Hishammuddin berkata, perkara itu sekali gus membuktikan keakraban hubungan Malaysia dan Arab Saudi dan Kementerian Luar akan memastikan hubungan baik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara itu terus utuh dan berkekalan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf