14 lelaki tidak mengaku salah main judi ketika PKP

Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini atas tuduhan bermain judi dan melanggar arahan PKP.
Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini atas tuduhan bermain judi dan melanggar arahan PKP.
A
A
A

NILAI - Seramai 14 lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini, atas dua pertuduhan iaitu bermain judi dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 8 April lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 17 hingga 24 tahun membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Rahimah Rahim selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh pembantu mahkamah.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai polis bersama anggota Balai Polis Mantin yang membuat rondaan khas Op Covid-19 telah menangkap 14 lelaki India di hadapan sebuah rumah di Jalan TD4 Taman Desa Pelangi, pada 8 April lalu jam 1.30 pagi.

Tangkapan dibuat selepas semua suspek dalam keadaan mencurigakan disyaki sedang berjudi dan kesemua mereka telah gagal memberikan alasan munasabah berada di luar rumah semasa tempoh PKP.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 bagi kesalahan melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 manakala denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan penjara jika disabit kesalahan mengikut Seksyen Sek 6(1) ARJT (Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhafizah Harun dan kesemua tertuduh mendapatkan perkhidmatan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 1 Jun ini dan semua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,000 hingga RM3,000.

Artikel Berkaitan: