Tengku Temenggong Kelantan cadang tubuh 'task force'

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
A
A
A
KOTA BHARU- Satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi membantu secara menyeluruh kumpulan yang terjejas ekoran pembatalan penganjuran bazar Ramadan di Kelantan tahun ini bagi mengekang koronavirus (Covid-19).

Secara peribadinya juga, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, beliau menyambut baik keputusan Kerajaan Kelantan untuk tidak meneruskan bazar Ramadan kali ini untuk keselamatan bersama.

Beliau berkata, bagaimanapun langkah yang efisien perlu dilaksanakan bagi bersama-sama menampung keresahan peniaga yang sebelum ini sudah menanti-nantikan ketibaan Ramadan untuk berniaga.

“Jawatankuasa khas perlu ada supaya dapat memikirkan dan mencari jalan menampung sumber pencarian peniaga kecil dan juga di bazar-bazar Ramadan.

“Kita juga (kerajaan negeri) perlu fikirkan cara supaya rakyat dapat menampung perbelanjaan mereka sepanjang Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun Tengku Temenggong Kelantan berkata, idea untuk membantu kumpulan terjejas itu tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan tetapi diharapkan peniaga itu sendiri boleh menyumbangkan pandangan bagi sama-sama membantu.

Katanya, peniaga kecil terutamanya kumpulan yang berniaga di bazar Ramadan di negeri ini juga perlu menyuarakan apa yang mereka rasakan sesuai bagi membantu ekonomi mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Jika sama-sama menyuarakan pandangan dan pendapat, mungkin kita dapat wujudkan satu mekanisme baru serta mencari jalan penyelesaian dalam perniagaan. Mungkin peniaga boleh berjinak-jinak dengan perniagaan dalam talian, peniaga juga perlu memikir cara perniagaan baru dan harus sentiasa positif.

“Ketika mana negara dilanda wabak Covid-19 kita tidak boleh menyalahkan kerajaan semata-mata, sebaliknya sama-sama menyokong usaha yang dilaksanakan dan mengambil maklum dari sudut positif,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Rabu lalu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memutuskan bazar Ramadan di Kelantan tahun ini tidak dianjurkan.