Iran lancar serangan peluru berpandu ke Israel

BAITULMAQDIS – Siren amaran serangan udara kembali bergema di Israel pada Ahad apabila tenteranya berusaha memintas beberapa gelombang peluru berpandu yang dilancarkan Iran, serangan pertama seumpamanya sejak gencatan senjata dicapai pada April lalu dalam konflik Asia Barat.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyifatkan serangan itu sebagai satu 'amaran' selepas Israel melancarkan serangan ke kawasan pinggir selatan Beirut pada hari sama dan mengancam tindakan lebih besar sekiranya berlaku lagi serangan terhadap wilayahnya.
Gencatan senjata yang bermula pada 8 April lalu berjaya menghentikan pertempuran besar melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS), namun usaha untuk menjadikannya perjanjian damai berkekalan berdepan pelbagai halangan.
Serangan terbaharu itu dijangka menjejaskan lagi harapan ke arah keamanan ketika konflik Asia Barat memasuki hari ke-100.
Teheran sebelum ini menegaskan sebarang perjanjian damai kekal perlu untuk menghentikan konflik di Lubnan, di mana Israel sedang melancarkan operasi ketenteraan terhadap Hizbullah yang disokong Iran.
Iran turut memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu ke atas Beirut akan mencetuskan 'penyambungan semula perang secara menyeluruh'.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan bahawa tentera negara itu telah menyerang sebuah pusat arahan di kawasan Dahiyeh, Beirut sebagai tindak balas terhadap serangan Hizbullah ke wilayah Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan itu mengorbankan dua individu dan mencederakan 20 yang lain.
Israel sebelum ini memberi amaran akan menyerang kawasan berkenaan sekiranya Hizbullah melancarkan serangan ke utara negara itu.
Hizbullah kemudian mengesahkan pihaknya melepaskan peluru berpandu dan dron ke dua kem tentera Israel pada pagi Ahad.
Speaker Parlimen Iran yang juga ketua perunding negara itu dengan Washington, Mohammad Bagher Ghalibaf, menuduh AS memberi 'lampu hijau' kepada serangan di Beirut dan menyifatkan aset AS serta Israel kini sebagai 'sasaran yang sah'.
Beberapa jam kemudian, tentera Israel melaporkan sekurang-kurangnya tiga gelombang serangan peluru berpandu dari Iran, sambil memaklumkan sistem pertahanan udaranya sedang mengenal pasti dan memintas ancaman berkenaan.
Ketua Markas Pusat Tentera Iran pula mendakwa Israel telah 'melangkaui semua garis merah' menerusi serangan di Beirut dan menuntut negara itu menghentikan operasinya di Lubnan.
“Operasi malam ini adalah satu amaran. Jika pencerobohan seperti ini berulang, tindak balas akan menjadi lebih meluas dan meliputi semua sasaran AS serta Zionis di rantau ini,” menurut kenyataan IRGC.
Sejurus selepas serangan itu, Iran mengumumkan penutupan ruang udara di bahagian barat negara berkenaan, manakala Iraq dan Syria turut mengambil langkah sama. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

