Dron didakwa dari Iran bedil lapangan terbang Kuwait

DUBAI - Ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) kembali memuncak apabila Kuwait mendakwa serangan dron Iran merosakkan sebuah terminal penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, mengorbankan seorang warga India dan mencederakan puluhan lagi individu.
Insiden yang berlaku pada Rabu itu dilihat sebagai ujian terbaharu terhadap gencatan senjata rapuh yang masih berkuat kuasa sejak April lalu selepas perang antara AS, Israel dan Iran memasuki bulan keempat.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kuwait, Brigedier Jeneral Saud Abdulaziz Al-Otaibi berkata, beberapa dron menyasarkan bangunan terminal lapangan terbang yang baru dibuka semula pada Isnin selepas ditutup selama beberapa bulan akibat konflik serantau.
Menurut beliau, serangan itu menyebabkan kerosakan besar pada terminal berkenaan selain mengorbankan seorang warga India dan mencederakan 63 individu lain, termasuk penumpang serta kakitangan lapangan terbang.
Rakaman kamera litar tertutup yang didedahkan pihak berkuasa penerbangan awam Kuwait menunjukkan sebuah objek menyerupai dron berbentuk segi tiga merempuh terus bangunan terminal sebelum meletup.
Bagaimanapun, Iran menafikan bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mendakwa kerosakan itu berpunca daripada peluru pemintas buatan AS yang gagal mengenai sasaran, namun tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.
Sebaliknya, Komando Pusat AS (CENTCOM) menegaskan serangan itu dilakukan oleh dron Iran dan menyifatkannya sebagai tindakan yang disengajakan serta tidak dapat dibenarkan.
Dalam perkembangan sama, Kuwait mengusir dua diplomat Iran sebagai tanda bantahan terhadap serangan tersebut.
Kementerian Luar Kuwait menegaskan negara itu tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang mengancam keselamatan dan kedaulatannya.
Sementara itu, tentera AS memaklumkan pihaknya berjaya memintas beberapa dron dan peluru berpandu Iran yang disasarkan ke Kuwait dan Bahrain.
Menurut CENTCOM, dua peluru berpandu Iran gagal mencapai sasaran di Kuwait selepas terputus di udara, manakala tiga lagi berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Bahrain dan AS.
Iran pula mengakui menyasarkan ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain serta beberapa kemudahan ketenteraan Amerika di rantau itu sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas kemudahan ketenteraan Iran di Pulau Qeshm, yang terletak di Selat Hormuz.
Pulau strategik itu menjadi tumpuan sejak Iran mengekalkan kawalan ketat ke atas Selat Hormuz, laluan penting bagi perdagangan minyak dan gas dunia, manakala AS terus melaksanakan sekatan ke atas pelabuhan Iran.
Presiden AS, Donald Trump berkata, rundingan bagi mengekalkan gencatan senjata masih diteruskan walaupun kedua-dua pihak terus melancarkan serangan balas.
“Kami masih berbincang, tetapi pada masa sama berlaku beberapa serangan. Dalam situasi seperti ini, gencatan senjata bermaksud tembakan berlaku pada kadar yang lebih rendah,” katanya.
Usaha damai itu turut terjejas susulan konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Hizbullah di Lebanon.
Iran dilaporkan mahu sebarang perjanjian damai yang lebih menyeluruh turut merangkumi penghentian serangan Israel di Lubnan, manakala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berpendapat isu tersebut perlu dipisahkan daripada rundingan dengan Teheran.
Dalam temu bual yang disiarkan pada Rabu, Trump turut mengesahkan beliau pernah menyifatkan Netanyahu sebagai “gila” dalam satu perbualan telefon baru-baru ini kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Israel yang didakwa menjejaskan usaha diplomatik dengan Iran.
Namun kedua-dua pemimpin menegaskan hubungan mereka kekal baik walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai strategi ketenteraan di rantau berkenaan.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

