PKP: 23 pesalah PKP kemuka permohonan ketepi hukuman penjara 14 hari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - Sebanyak 23 individu yang dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memfailkan semakan untuk mengetepikan hukuman berkenaan.

Sebanyak 17 daripada mereka yang berumur antara 22 dan 34 tahun itu, dijatuhi hukuman penjara 14 hari kerana berkumpul di sebuah unit kondominium manakala enam lagi yang turut menghadapi hukuman sama setelah mengakui hadir di kawasan yang dijangkiti wabak tanpa alasan munasabah dan minum minuman keras di tempat awam.

Peguam, K.A Ramu yang mewakili kumpulan berkenaan berkata, permohonan semakan terhadap hukuman penjara 14 hari itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

“Tarikh pendengaran ditetapkan pada 14 April. Permohonan itu difailkan atas alasan bahawa banyak kes terdahulu telah dikenakan hukuman mengikuti program khidmat masyarakat dan denda. Dalam kes ini, tidak sepatutnya dipenjarakan," katanya.

Pada 8 April, Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan hukuman penjara 14 hari terhadap kumpulan terbabit selepas masing-masing mengaku salah terhadap pertuduhan hadir di kawsan jangkitan tanpa alasan munasabah di Kondominium Amerin, Taming Jaya, Kajang, pada 12.35 malam, 3 April, dengan itu melanggar PKP, yang mula dikuatkuasakan pada 18 Mac.

Majistret, Muhammad Noor Firdaus Rosli memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 2 dan 3 April.

Sementara itu, enam lelaki berumur 34 hingga 48 tahun turut dijatuhi hukuman penjara 14 hari selepas mengaku bersalah berada di kawasan jangkitan wabak tanpa alasan munasabah dan minum minuman keras di tempat awam di Jalan Taming Sari 1, di sini, pada 11.30 malam, 2 April.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 6 dan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-Bernama

Artikel Berkaitan: