Edar dadah guna khidmat penghantar barang

Polis membongkar taktik pengedaran dadah yang menggunakan khidmat penghantaran barang semasa sekatan jalan raya di Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26, Shah Alam kelmarin.
Polis membongkar taktik pengedaran dadah yang menggunakan khidmat penghantaran barang semasa sekatan jalan raya di Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26, Shah Alam kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Taktik sindiket yang menggunakan khidmat penghantar barang bagi mengedar dadah terbongkar dalam sekatan jalan raya di Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26 di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, pemeriksaan terhadap seorang lelaki penghantar barang menemui dadah jenis ganja seberat 40.44 gram.

"Pekerja penghantar barang yang menunggang motosikal Yamaha LC telah ditahan kira-kira jam 12.15 tengah hari.

"Pemeriksaan pada beg galas yang dipakai pekerja terbabit menjumpai dua sampul surat berisi peket plastik lut sinar berisi leraian daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 40.44 gram.

"Pekerja terbabit kemudian ditahan untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan BSJN IPD Serdang telah membawa serbuan di sebuah rumah di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira jam 11.10 malam.

"Seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun telah diberkas dengan rampasan dadah disyaki ganja seberat 1.6 kilogram.

"Lelaki itu direman tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan awal mendapati pekerja penghantar barang itu tidak mengetahui barang yang dihantarnya.

"Dipercayai suspek kedua ini menggunakan khidmat orang tengah untuk menguruskan khidmat penghantaran 'barang' itu kepada pelanggan lain.

"Dipercayai suspek ini juga telah aktif sejak dua minggu dan mencari pelanggannya menggunakan aplikasi sosial Wechat,

"Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, polis akan terus memantau dan akan mengambil tindakan tegas ke atas kegiatan terbabit.