Lima sekeluarga termasuk bayi perempuan maut kemalangan

KUCHING - Lima sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan di Jalan Baki Lama-Ensengei, Serian, pagi Rabu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.41 pagi.
Menurut kenyataan itu, kenderaan dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebatang paip air.

"Mangsa maut terdiri daripada seorang lelaki dewasa, tiga wanita dan seorang bayi perempuan.
"Pasukan bomba telah mengeluarkan empat mangsa dewasa dari kenderaan, manakala bayi perempuan ditemukan oleh orang awam berhampiran lokasi kejadian, dan dipercayai tercampak dari kenderaan semasa kemalangan,” menurut JBPM Sarawak.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Bernama
Identiti mangsa dikenal pasti
Identiti lima sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan di Jalan Baki Lama-Ensengei, di Serian, dikenal pasti.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohammad Bostari Aidit, 30, Ajibah Ahmat, 47, Nur Farah Shahira Narudin, 26, Nur Ain Nasrin Narudin, 16, dan Nur Assyfa Luthfya Narudin, 2.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.41 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai dan tiba pada 9.04 pagi.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan kendiri membabitkan sebuah kenderaan yang melanggar batang paip air.

"Terdapat lima mangsa dalam kenderaan berkenaan, membabitkan tiga perempuan dewasa, seorang lelaki dewasa dan seorang bayi perempuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan empat mangsa dewasa yang tersepit di dalam kenderaan, manakala bayi perempuan itu ditemui orang awam berhampiran lokasi kejadian.
Menurutnya, bayi berkenaan dipercayai tercampak keluar dari kenderaan akibat impak pelanggaran yang kuat semasa kemalangan berlaku.
Semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berjaya dikawal pada 9.20 pagi dan tamat sepenuhnya pada 9.51 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
