Himpunan Anok Beranok Labok satukan generasi, eratkan silaturahim

SHAH ALAM - Lebih 400 anak kelahiran Labok, Machang, Kelantan dari seluruh negara berhimpun bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh ikatan kekeluargaan antara generasi yang semakin berkembang.
Pengerusi Himpunan Anok Beranok Labok, Profesor Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, program itu menjadi platform untuk memperkenalkan setiap ahli keluarga yang tidak pernah bertemu atau saling mengenali walaupun berasal daripada rumpun yang sama.
“Tujuan utama program ini adalah untuk mengeratkan silaturahim, kasih sayang dan hubungan kekeluargaan. Ada dalam kalangan mereka yang tidak pernah berjumpa walaupun berada dalam kumpulan WhatsApp yang sama.

“Melalui pertemuan ini, mereka dapat mengenali saudara-mara, mengetahui latar belakang keluarga masing-masing, termasuk tempat tinggal dan kerjaya,” katanya ketika ditemui pada himpunan yang julung kali diadakan di Karangkraf pada Isnin.
Program itu turut dihadiri Pengasas dan penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pendakwah, Roslan Mohamed dan Profesor Madya Dr Nur Ismarrubie Zahari.
Menurut beliau, sambutan yang menggalakkan itu membuktikan keinginan tinggi dalam kalangan ahli keluarga untuk terus mengekalkan hubungan kekeluargaan.

Tambahya, pihaknya bercadang menjadikan himpunan itu sebagai acara tahunan selain mewujudkan pangkalan data keluarga bagi memudahkan perkongsian maklumat serta mengukuhkan jaringan sosial dan ekonomi dalam kalangan ahli keluarga.
"Selain itu, ada yang mengemukakan penubuhan koperasi keluarga dan pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti yang boleh memberi manfaat kepada generasi akan datang.
"Dalam komunniti ini terdapat ramai ahli perniagaan, tokoh agama dan individu yang berjaya dalam bidang pendidikan.
"Kepakaran mereka boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan program seperti kursus motivasi, pendidikan dan pengukuhan nilai agama kepada generasi muda,"ujarnya lagi.

Kamal Nasharuddin berkata, penggunaan media sosial turut memainkan peranan penting dalam usaha menjejaki serta menghubungkan seramai mungkin anak keturunan Labok bagi memastikan hubungan kekeluargaan terus terpelihara.
“Segalanya bermula melalui program ini dan kami berharap usaha ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi memperkukuh institusi keluarga serta warisan komuniti Labok,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
