Hulu Selangor, zon merah keenam Selangor

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Daerah Hulu Selangor yang sebelum ini ditakrif sebagai zon jingga kini menjadi zon merah keenam di Selangor berikutan jumlah kumulatif kes positif koronavirus (Covid-19) direkodkan sehingga jam 9 malam tadi mencecah 41 kes.

Sebelum ini lima daerah di Selangor ditakrif sebagai zon merah Covid-19 iaitu Hulu Langat yang mencatat 370 kes; Petaling (319); Klang (146); Gombak (119) dan Sepang (54).

Dua daerah di negeri ini masing-masing Kuala Selangor yang merekod 27 kes dan Kuala Langat (25) ditakrifkan sebagai zon jingga manakala daerah Sabak Bernam yang mempunyai kumulatif kes sebanyak 15 kes masih kekal zon kuning.

Menerusi data Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, negeri ini mencatat 1,116 kes dengan lapan jumlah kematian sehingga jam 9 malam tadi menjadikan Selangor kekal negeri tertinggi merekod kumulatif kes Covid-19.

Terdahulu, Pasukan Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi kenyataan ringkas di Facebook rasminya memaklumkan sebanyak 40 kes baharu direkodkan di Selangor sehingga jam 12 tengah hari tadi.

“Berita baik buat Selangor! Hari ini dicatatkan 40 kes baharu saja berbanding 58 kes semalam. Jumlah kes terkumpul dalam negara setakat ini adalah 4,228.

“Penurunan ini baik kerana menjadikan corak graf kelihatan mendatar. Kes sembuh juga telah mengatasi kes baru sekali lagi. Kita harus kekal disiplin, patuh PKP, mari doakan kemenangan semua,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam jawapan bagi soalan lazim (FAQ) mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Tahap 2 (PKP 2) memaklumkan zon merah mempunyai lebih daripada 40 kes positif virus berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kawasan yang mempunyai 21 hingga 40 kes positif dirujuk sebagai zon jingga. Zon kuning pula merujuk kepada kawasan yang mempunyai satu hingga 20 kes positif manakala zon hijau adalah kawasan yang tiada kes positif.