PKP dedah kebejatan Zoom

ILMU KEJURUTERAAN AL-QURAN

A
A
A

SECARA tidak sedar, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan akibat wabak pandemic Coronavirus 2019 (Covid-19) telah mendedahkan rakyat Malaysia kepada semua teras Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Bermesyuarat menerusi online yang menjadi kegilaan ketika ini ialah salah satu teras IR 4.0.

Satu demi satu istilah saling bertukar tangan seperti WFH (working from home), LFH (lecture-from-home) dan OWC (Online Web Conference).

Antara kegilaan paling ketara ialah bermesyuarat mengguna aplikasi persidangan video atau ‘video conferencing’ dan yang menjadi pilihan utama ialah Zoom (Group Messaging & Mobile Meetings).

Pada Disember lalu, pengguna Zoom sekitar 10 juta orang.

Namun angka itu meledak naik kepada 200 juta selepas pengguna memilih aplikasi Zoom untuk bermesyuarat.

Demam Zoom turut melanda Malaysia. Di sana sini, ramai gah mengguna aplikasi Zoom untuk bermesyuarat, kadangkala melibatkan perkara sulit yang hanya perlu diketahui oleh tahap pengurusan tertentu.

Namun segala-galanya bertukar dalam sekelip mata sahaja.

Artikel Berkaitan:

Pada 6 April lalu, Jabatan Pendidikan New York (NYDE) mengharamkan penggunaan Zoom kerana mendakwa aplikasi tersebut menimbulkan masalah keselamatan dan privasi.

Antara lain Zoom didakwa boleh mendedahkan alamat email peribadi dan syarikat, kata laluan, meeting ID, host key and name dan jenis akaun Zoom.

Keadaan tersebut menyebabkan ada yang mendesak Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) agar menyiasat salah laku Zoom.

Di Malaysia pada sepanjang minggu ini, ramai yang mencurahkan perasaan geram pada blog, Facebook, Instagram atau apa saja platform sosial media.

Ada yang mendakwa berlaku terlalu banyak transaksi `Direct Debit’ yang amat meragukan melibatkan sebuah bank ternama di negara ini.

Mereka mendakwa tidak membeli sebarang barangan sebagaimana yang didakwa oleh bank berkenaan.

Godam

Sehari selepas NYDE mengharamkan Zoom, sebuah universiti swasta milik Kerajaan Selangor, Universiti Selangor (Unisel) telah mengeluarkan e-mel rasmi menasihat semua staf tidak mengguna aplikasi Zoom untuk pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta bermesyuarat kerana disyaki memiliki kelemahan keselamatan.

Apa yang ditakuti ialah data peribadi pelajar seperti nama dan nombor bank akaun telah digodam dan wang boleh dicuri dengan sewenang-wenangnya.

Siasatan akhbar terkemuka Amerika Syarikat, The Washington Post pula mendapat beribu rakaman persidangan video dan mesyuarat mengguna aplikasi Zoom tidak memiliki ciri keselamatan dan boleh dilayari secara terbuka oleh sesiapapun pada laman web.

Pada 4 April lalu, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zoom, Eric Yuan meminta maaf kerana kecuaian yang terlalu banyak dilakukan pihaknya.

Nasi telah menjadi bubur. Apa yang berlaku ialah pengodam telah mencuri dengar dan mengesan banyak maklumat peribadi seperti kata laluan akaun bank dan email peribadi.

Sebenarnya, ALLAH SWT telah membayangkan senario ini menerusi surah Az-Zumar [39:67] bermaksud, “Dan mereka tidak mengagungkan ALLAH dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya.

Maha Suci Tuhan dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.” Menerusi Surah At-Taubah [9:122] ALLAH berpesan maksudnya, “Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.”

Justeru, penulis mencadangkan pengguna di Malaysia segera kembali mengguna aplikasi enjin carian (search engine) dibangunkan pelayan (server) dan platform awan (cloud platform) yang dikawal sendiri oleh Malaysia seiring nasihat Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada 4 April lalu, MKN menghantar surat peringatan mengingatkan ancaman serangan siber ke atas agensi kerajaan sepanjang tempoh PKP.

MKN menyatakan `tahap ancaman sangat tinggi’ jika menggunakan aplikasi Zoom untuk persidangan video.

Penulis juga mendapati penggodam atau penyangak siber melibatkan MacOS boleh mengawal sepenuhnya kamera dan midrofon dan boleh memalsukan maklumat untuk disebarkan ke dalam malware yang membahayakan sistem.

Penulis berharap Kerajaan Malaysia memperuntukan belanjawan khusus bagi mengumpulkan pasukan pakar tempatan daripada pelbagai bidang diperlukan untuk membangunkan platform awan milik Malaysia berasas teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) dan sistem aplikasi WFH di Malaysia bersama sistem sekuriti siber mengikut tahap keselamatan maklumat yang mampu menangkis dan menghentikan kejahatan penggodam.

* Profesor Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor