X

Kindly register in order to view this article
!

Media, berita palsu dan Covid-19

A
A

DI kala pergelutan mencari vaksin untuk memerangi Covid-19 sedang diusahakan, muncul perbahasan mengenai senjata biologi ( bioweapon ) dari pelbagai sumber media, rencana dan penganalisis.

Senjata biologi bukan baharu. Dalam sejarah peperangan antara negara, senjata biologi pernah diguna.

Namun perbahasan mengenai Covid-19 sebagai senjata biologi merebak kencang dalam media perdana dan media sosial.

Teori konspirasi juga muncul yang sering diketengahkan oleh Rusia dan Perancis.

Kesan Covid-19 merentas pelbagai lapisan iaitu perubatan, media dan ideologi politik. Kini kedengaran analisis geo-politik mengenai Covid-19 berlegar dalam media.

Bermula dengan Presiden AS, Donald Trump, tiba-tiba mengeluarkan kenyataan virus Covid-19 digelar Virus China (Chinese Virus) kerana ia berasal dari Wuhan China.

Beliau mencari musuh luar dan mengelak untuk mengakui Rumah Putih di bawah pentadbiranya gagal dan lambat bertindak adalah punca wabak menular di AS.

Manakala AS pula diperingkat awal telah cuba mengukuhkan keyakinan rakyatnya bahawa coronavirus ini hanya selesema biasa dan ia tidak perlu dikhuatiri.

Trump sendiri menyatakan Covid-19 ini isu kecil dan ia akan hilang. Media seperti Fox News berperanan untuk meyakinkan masyarakat terhadap kenyataan Trump.

Kini New York, AS menjadi pusat dunia wabak ini dan pentadbiran Trump sedang bergelut mencari jalan keluar kepada krisis Covid-19 itu.

Sebagai reaksi balas China menuduh Covid-19 berasal dari makmal tentera AS yang diseludup masuk ke China.

China pada awalnya cuba mengawal media supaya tidak mengeluarkan maklumat yang benar sehinggalah bila virus itu merebak pantas barulah peraturan ke atas media dilonggarkan.

Ketika wabak ini merebak ke seluruh dunia, berita palsu juga meluas dan berlaku informasi salah tersebar dalam media.

Setiausaha Agong PBB Antonio Guterres malah menyatakan berita palsu dan salah maklumat telah menjadikan wabak Covid-19 bertambah parah dan mengancam dunia.

Beliau mengatakan yang penting ialah maklumat mesti berasaskan sains dan fakta.

Dalam pada itu beberapa negara telah mewujudkan undang-undang drakonian untuk memastikan media terkawal.

Rusia mengawal berita palsu dengan hukuman 5 tahun penjara. Pakistan denda 10,000 dolar, Zimbabwe hukuman 20 tahun penjara.

India cuba mengawal teks mesej dalam media sosial. Perdana Menteri Modi, hampir meluluskan peraturan di mahkamah tertingginya bahawa semua berita mengenai Covid-19 mesti melalui tapisan kerajaan, tetapi gagal.

Armenia mengharamkan siaran berita atau berkongsi berita yang tidak dilulus oleh kerajaan.

Turkmenistan melarang sama sekali mengguna istilah Covid-19 dalam media.

Demikian juga Hungari mengisytiharkan darurat dan mengharamkan berita mengenai Covid-19. Editor media yang menyiarkan berita bukan dari kerajaan akan dihukum penjara.

Namun semua undang-undang itu digubal dengan mengguna frasa dan ayat yang kabur sehingga ada kecenderungan pemerintah mengambil kesempatan untuk menggunakan kuasa autoritarian tanpa had.

Pengalaman wabak Selesema Sepanyol 1918 di hujung Perang Dunia pertama jelas menunjukkan peranan media yang boleh merebakkan wabak.

Wartawan melaporkan tentera yang balik dari perang membawa kuman tetapi editor melarang berita disiarkan.

Media di barat dikawal ketat supaya tidak menyiarkan berita mengenai wabak itu.

Hanya Sepanyol yang mendedahkan wabak itu kerana Rajanya dijangkiti. Sebab itu diberi nama Selesema Sepanyol. Akibatnya 50 - 100 juta maut akibat wabak tersebut.

Media sepatutnya mendedahkan kebenaran, bukan hanya ikut arahan supaya fakta disembunyikan.

Yang paling penting ialah khabarkan yang benar supaya elak kekeliruan dan panik massa. Dengan maklumat yang tepat dan benar, orang awam boleh membuat persiapan.

Fungsi media ialah laporkan yang benar, bukan cuba menguruskan kebenaran, kerana berita yang benar ada kaitan dengan keyakinan awam.

Jika Internet benar-benar mahu memberi manfaat inilah masanya.

Media sosial seperti akaun Facebook, Twitter dan Instagram jika disalah guna pasti akan mengakibatkab krisis kesihatan ini akan membawa mala petaka.

Geo-politik dunia antara kuasa besar iaitu Amerika, Rusia dan China sedang cuba meraih kesempatan untuk menentukan siapa yang akan muncul juara. Mereka bersaing untuk menunjukkan kesalahan siapa yang patut didedahkan.

Mereka berlumba mengisytiharkan siapa dan ideologi mana yang akan memimpin dunia dan sistem mana yang paling ampuh untuk memerintah dunia pasca Covid-19.

Kini permainan salah siapa (blame game) sedang menjadi percaturan pemimpin dunia antara Trump, Putin dan Xi Jinping.

Dalam permainan inilah media menjadi alat terpenting.

Siapa yang menang dalam mengolah informasi atau informasi salah dalam media, itulah yang bakal menang dalam peperangan ini. Pedulikan berapa juta rakyat yang akan mati oleh wabak ini.

*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf