Lebih satu jam baru dapat naikkan temoleh 34.5kg

IPOH - Tiga nelayan darat menerima rezeki luar jangka apabila berjaya mendaratkan seekor ikan temoleh seberat 34.5 kilogram di Sungai Perak berhampiran Manong, Kuala Kangsar, awal pagi Sabtu.
Tangkapan itu menjadi rekod baharu bagi kawasan tersebut memandangkan temoleh bersaiz besar kini semakin jarang ditemui di kawasan hilir empangan.
Pengerusi Komuniti Nelayan (MyKP) Kampung Teluk Perang, Muhamad Shahrul Buari berkata, ikan tersebut berjaya dinaikkan kira-kira jam 1 pagi selepas ia tersangkut pada pukat yang dipasang nelayan berkenaan.
Menurutnya, nelayan terlibat terpaksa berhempas pulas selama lebih satu jam untuk menaikkan ikan berkenaan kerana saiznya yang besar dan keadaannya yang bergulung pada pukat.
"Ikan temoleh atau tamalian ini dahulu memang banyak, tetapi sekarang semakin sukar ditemui. Antara faktor utama adalah kewujudan empangan yang menghalang pergerakan ikan untuk mudik dan bertelur.
“Kalau ada pun, kebiasaannya sekitar 20 hingga 30 kilogram. Saiz 34.5 kilogram ini memang jarang dan sudah lama tidak ditemui di kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Nilai pasaran bagi ikan yang bergelar 'raja sungai' itu sangat tinggi iaitu RM100 sekilogram dan boleh mencecah antara RM3,000 ke RM4,000 seekor.
Muhamad Shahrul berkata, ikan tersebut berjaya dijual sepenuhnya dalam tempoh kurang 30 minit selepas dimuat naik di media sosial dengan permintaan daripada pembeli luar termasuk dari Kuala Lumpur, Melaka dan Johor.
"Saya potong mengikut bahagian supaya lebih ramai orang berpeluang merasai keenakan ikan sungai ini.
"Bahagian kepalanya sahaja sudah ditempah oleh seorang pembeli dari Johor yang sanggup datang jauh semata-mata untuk mendapatkan kualiti ikan Sungai Perak ini," tambahnya lagi.
Mengulas mengenai keistimewaan ikan tersebut, Muhamad Shahrul menjelaskan bahawa ikan temoleh merupakan antara ikan bersisik paling sedap di Malaysia.
"Tekstur ikan berkenaan juga lebih baik berbanding ikan terubuk kerana mempunyai tulang yang sedikit. Paling sesuai dimasak tempoyak, gulai lemak atau stim," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa usaha memulihara spesies ini perlu dipergiatkan memandangkan kewujudan empangan sedikit sebanyak menjejaskan proses migrasi ikan tersebut untuk bertelur di kawasan hulu.
"Di Pahang, ikan ini sudah mula dijadikan ikan larangan untuk dijual bagi tujuan pemuliharaan. Jadi, sementara masih dibenarkan di Perak, kami mahu menonjolkan potensi ikan sungai kita ke mata luar," katanya.
Tangkapan tersebut kini menjadi tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai peminat ikan sungai, selain menyifatkan Sungai Perak masih menyimpan khazanah yang bernilai tinggi jika dijaga dengan baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

