Kedah antara negeri berjaya kawal Covid-19: Mukhriz

Mukhriz (kiri) menerima replika cek daripada Yang Dipertua PKMMNK, Mohd Fauzi Mohamad (tiga dari kanan) yang menyalurkan sumbangan kepada kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Mukhriz (kiri) menerima replika cek daripada Yang Dipertua PKMMNK, Mohd Fauzi Mohamad (tiga dari kanan) yang menyalurkan sumbangan kepada kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah merupakan antara negeri yang berjaya mengawal penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dengan baik apabila berada di kedudukan ke-13 antara negeri lain di negara ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kejayaan itu juga dapat dibuktikan apabila hospital di negeri ini tidak dibebankan dengan jumlah pesakit wabak berkenaan.

Katanya, ketika ini kapasiti bagi pesakit Covid-19 di hospital hanya digunakan sebanyak 11 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan.

"Jadi, kita masih ada baki 89 peratus, tetapi bukan maksud saya nak jumlah pesakit bertambah ramai, sebaliknya saya hendak maklumkan kita ada kemudahan kapasiti itu sebelum kita buka pusat-pusat kuarantin yang lain," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Khas Covid-19 Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurutnya, rentetan itu, beliau mahu negeri ini kekal berada pada kedudukan terendah walaupun Kedah mempunyai jumlah penduduk yang ramai berbanding negeri lain seperti Perlis dan Putrajaya.

"Oleh itu, penduduk di negeri ini perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mengikuti prosedur operasi standard (SOP) penjagaan kebersihan diri yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, sebagai persediaan, kerajaan negeri juga sedang berurusan dengan MKN dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk menjadikan beberapa hotel di tanah besar sebagai pusat kuarantin pandemik berkenaan.

"Ketika ini hanya dua hotel di Langkawi telah diluluskan untuk tujuan itu, bagaimanapun setakat ini belum ada lagi individu yang pulang ke tanah air menerusi pulau terbabit dan dikurantin di sana.

Artikel Berkaitan:

"Untuk makluman, pusat kuarantin yang sudah digunakan adalah di Institut Aminuddin Baki (Cawangan Utara di Jitra), Pusat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sungai Petani dan yang ketiga Pusat Latihan Pertanian, Teluk Chengai di sini," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata, setakat ini pihaknya menerima lebih 4,000 permohonan bagi sumbangan RM300 'one-off' daripada kerajaan negeri sebagai bantuan dalam tempoh PKP.

Bagaimanapun katanya, masih ada lagi permohonan yang di proses di peringkat Pusat Khidmat DUN (Dewan Undangan Negeri) yang belum dikemukakan untuk diselaraskan di Pejabat Kewangan Negeri.

Terdahulu, Mukhriz turut menerima sumbangan daripada Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kedah (PKMMNK) sebanyak RM10,000 bersamaan 750 kampit beras untuk disalurkan kepada rakyat yang terjejas akibat PKP.