Cubaan bunuh Trump lagi, Rumah Putih kena 'lockdown'

Seorang penyiasat forensik merakamkan imej bukti di lokasi kejadian berhampiran Rumah Putih yang kini dikepung pihak berkuasa. (Gambar kecil: Nasire Best) Foto AFP
Seorang penyiasat forensik merakamkan imej bukti di lokasi kejadian berhampiran Rumah Putih yang kini dikepung pihak berkuasa. (Gambar kecil: Nasire Best) Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi dipercayai menjadi sasaran cubaan bunuh apabila seorang lelaki bersenjata didakwa melepaskan tembakan berhampiran Rumah Putih pada Sabtu hingga menyebabkan langkah lockdown dikuatkuasakan.

Ketika kejadian, Trump didakwa berada di kediaman rasmi Presiden tersebut ketika beliau giat mengadakan rundingan bersama Iran, namun pemimpin Republikan itu terselamat.

Ketua Komunikasi Perkhidmatan Rahsia, Anthony Guglielmi mengesahkan suspek berjaya ditewaskan oleh ejen mereka dalam insiden berbalas tembakan yang turut menyebabkan seorang orang awam terbunuh.

Konfrontasi itu tercetus apabila penyerang menghampiri perimeter keselamatan Rumah Putih secara tiba-tiba lalu mengeluarkan senjata api dari beg miliknya.

Rangkaian media tempatan mendedahkan identiti suspek sebagai Nasire Best, 21, dari Maryland dan mempunyai sejarah masalah kesihatan mental dan 'agak popular' dalam kalangan ejen Perkhidmatan Rahsia serta pernah ditahan beberapa kali.

Susulan kejadian itu, kawalan keselamatan sekitar Rumah Putih telah diperketatkan malah pasukan Pengawal Negara turut mengepung kawasan di pusat bandar Washington tersebut.

Siasatan turut dilancarkan untuk mengenal pasti motif sebenar penyerang yang menggelarkan dirinya sebagai 'Osama Laden sebenar'.

Seorang pelancong Kanada, Reid Adrian juga berkongsi detik cemas itu.

"Kami terdengar kira-kira 20 hingga 25 das tembakan yang pada awalnya disangka bunyi mercun sehingga mencetuskan panik. Orang ramai kemudian bertempiaran menyelamatkan diri," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Wartawan ABC News, Selina Wang yang kebetulan berada di lokasi kejadian dan sedang merakamkan video untuk kandungan media sosial turut menjadi saksi serangan ganas itu.

"Ia kedengaran seperti puluhan das tembakan dilepaskan secara bertalu-talu," menurut catatannya di platform X.

Sumber pihak berkuasa pula mengesahkan kira-kira 15 hingga 30 tembakan dilepaskan di kawasan 17th Street dan Pennsylvania Avenue NW berhampiran Rumah Putih tersebut.

Sementara itu, Trump yang kembali meraih 'publisiti percuma' mendakwa penyerang yang pernah terbabit kejadian keganasan berkemungkinan terlalu taasub dengan Rumah Putih. - AFP

Info:

Trump pernah berdepan tiga kali cubaan bunuh

>Pada Julai 2024, telinga kanannya pernah cedera kerana terkena tembakan ketika berkempen di Butler, Pennsylvania. Beberapa bulan kemudian, seorang lagi lelaki bersenjata ditahan di padang golf West Palm Beach ketika Trump sedang bermain golf.

>Pada 25 April lalu, Cole Tomas Allen, 31, berdepan tuduhan percubaan membunuh Trump selepas didakwa melepaskan tembakan dalam satu majlis makan malam gala media.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!