Kota Bharu tutup selepas 1 tengah hari adalah palsu: Polis Kelantan

Penafian yang dibuat di facebook Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Penafian yang dibuat di facebook Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menafikan bandar Kota Bharu hanya boleh dimasuki bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari seperti yang ditularkan di media sosial dan aplikasi Whatapps, sejak semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kenyataan yang tular membabitkan pemberitahuan 13 laluan jalan raya ke bandar Kota Bharu yang ditutup adalah tidak benar.

HASANUDDIN HASSAN
HASANUDDIN HASSAN

“Maklumat itu palsu menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat dan polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada penyebar berita tidak benar.

“Pada masa sama kami meminta rakyat supaya terus untuk berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuatkuasa sehingga 14 April ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, tahap kepatuhan rakyat Kelantan sehingga semalam menurun kepada 95 peratus berbanding 96 peratus pada Ahad lalu dan tiba masa untuk bertindak tegas terhadap mereka yang ingkar.

“Sudah terlalu banyak nasihat, saya rasa dah cukup dah. Sekarang masuk fasa tindakan tegas pula akan dilakukan terhadap individu yang terus berdegil keluar dari rumah tanpa urusan penting.

“Setakat semalam seramai 466 individu ingkar PKP fasa pertama dan kedua ditahan bermula 18 Mac lalu dan seterusnya penguatkuasaan akan diperketatkan lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian turut mendapati bilangan kenderaan di jalan raya sekitar Kota Bharu mula bertambah sedikit berbanding PKP sebelum ini.

Sementara itu, di Facebook Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob turut memaklumkan kenyataan palsu berhubung penutupan jalan ke Kota Bharu.

“(Admin) pemakluman kenyataan palsu, Datuk Menteri Besar menafikan kenyataan beliau mengenai penutupan jalan yang melibatkan hampir keseluruhan ke Bandar Kota Bharu pada jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

“Diharap orang ramai tidak terpangaruh atau menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat,” katanya.