Iran dakwa mampu musnahkan lebih banyak aset ketenteraan AS jika konflik baharu meletus

TEHERAN – Iran memberi amaran sebarang konflik baharu dengan Amerika Syarikat (AS) bakal menyaksikan “kejutan lebih dahsyat”, termasuk kemampuan Tehran memusnahkan lebih banyak aset ketenteraan Washington di rantau Asia Barat.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, angkatan bersenjata republik Islam itu kini mempunyai pengalaman lebih luas dan keupayaan ketenteraan lebih besar susulan perang menentang Israel baru-baru ini.
Beliau menegaskan ancaman berterusan daripada AS dan Israel tidak akan melemahkan Iran, malah mendakwa tindakan ketenteraan sebelum ini gagal mencapai objektif yang diinginkan.
Menurut Araghchi, Iran juga “mempunyai banyak kejutan” sekiranya Washington meneruskan tekanan atau melancarkan serangan baharu terhadap negara itu.
Dalam beberapa kenyataan lain, beliau turut memberi amaran bahawa Iran tidak akan menunjukkan “sebarang sekatan” jika infrastruktur strategiknya terus diserang sambil menegaskan tindak balas sebelum ini hanyalah sebahagian kecil daripada kemampuan sebenar Tehran.
Kenyataan keras itu dibuat ketika ketegangan antara Iran dan AS terus memuncak walaupun usaha diplomatik masih berjalan, termasuk rundingan berkaitan program nuklear Tehran.
Pada masa sama, Araghchi mendakwa Iran bersedia menghadapi perang berskala penuh jika rundingan gagal menghasilkan keputusan yang diterima Tehran.
Terdahulu, pegawai tentera AS mendakwa serangan Washington sebelum ini berjaya melemahkan sebahagian besar kemampuan ketenteraan Iran, namun Tehran berkeras bahawa negara itu masih mempunyai kapasiti besar untuk melancarkan serangan balas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

