Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound Britain.
Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound Britain.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini, didorong oleh sentimen global yang lebih baik dalam pasaran ekuiti dan komoditi menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) + hari ini.

Pada jam 9.03 pagi, ringgit berada pada 4.3300/3400 berbanding dolar AS daripada 4.3450/3545 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, berdasarkan kesetaraan ringgit dengan harga minyak dan sentimen risiko global baru-baru ini, mata wang tempatan akan mencatat prestasi yang baik hari ini.

“Dengan pelabur menantikan keputusan mesyuarat OPEC +, jika apa-apa ringgit dijangka diniagakan dalam persekitaran yang optimis hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perbincangan mengenai kemungkinan membuka semula beberapa bahagian di Amerika Syarikat (AS) telah menyumbang kepada sentimen positif kepada pasaran ekuiti.

Awal minggu ini, jumlah kematian akibat koronavirus (Covid-19) yang rendah di New York dan New Jersey telah membawa kepada peningkatan indeks ekuiti utama di AS sebanyak lebih tujuh peratus.

“Bagaimanapun, jumlah kes baharu yang disahkan masih meningkat dan setakat ini, tiada tanda-tanda vaksin atau antibodi telah ditemui.

“Sehubungan itu, kami masih berpendapat pasaran forex masih goyah. Mungkin, ringgit akan masih berada sekitar RM4.35 berbanding dolar US dalam jangka masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound Britain.

Ia naik berbanding euro kepada 4.7076/7202 daripada 4.7200/7320 pada Rabu dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0386/0465 daripada 3.0406/0487.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.9721/9824 daripada 3.9906/0005, bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.3744/3885 daripada 5.3552/3682 semalam. - Bernama