Perniagaan untung, tetapi aliran tunai bermasalah

Aliran tunai perniagaan banyak bergantung pada sejauh mana modal kerja diuruskan dengan berkesan. Foto hiasan
Aliran tunai perniagaan banyak bergantung pada sejauh mana modal kerja diuruskan dengan berkesan. Foto hiasan
A
A
A

ADA perniagaan yang penyata pendapatannya menunjukkan keuntungan yang selesa. Namun, aliran tunainya sentiasa ketat dan operasi perniagaan sering terganggu kerana kekurangan dana. Mengapa perkara ini berlaku?

Jawapannya ialah kerana keuntungan tidak semestinya diterima dalam bentuk tunai. Dalam perniagaan, kaedah perakaunan akruan digunakan, di mana jualan dan pembelian secara kredit direkodkan sebagai transaksi yang telah berlaku sepenuhnya.

Selain itu, kos aset yang dibayar secara tunai tidak ditolak sekali gus dalam pengiraan keuntungan, sebaliknya disusut nilai sepanjang tempoh hayat ekonomi aset tersebut.

Sebagai contoh, jika pelanggan diberikan tempoh kredit selama 60 hari untuk membayar pembelian, jualan yang telah direkodkan sebagai hasil tidak akan menghasilkan aliran tunai sehingga pembayaran diterima. Jika pelanggan gagal membayar mengikut tempoh yang dipersetujui, kutipan hasil tersebut akan terus tertangguh.

Dalam masa yang sama, jika barangan yang dijual dibeli secara tunai atau dengan tempoh kredit yang lebih singkat, misalnya 30 hari, perniagaan perlu terlebih dahulu membayar kos barangan tersebut menggunakan modal pusingan sedia ada.

Semakin besar jurang antara pembayaran kepada pembekal dan kutipan daripada pelanggan, semakin ketat aliran tunai perniagaan.

Keadaan menjadi lebih buruk sekiranya pelanggan mungkir janji atau perniagaan mereka gulung tikar. Hutang yang sepatutnya dikutip akan menjadi hutang lapuk. Ini bermakna kos barangan yang telah dibayar hangus begitu sahaja, bersama-sama keuntungan yang telah direkodkan dalam penyata pendapatan.

Aliran tunai perniagaan banyak bergantung pada sejauh mana modal kerja diuruskan dengan berkesan. Antaranya ialah menentukan sama ada jualan dibuat secara tunai atau kredit. Jika jualan kredit diberikan, analisis terhadap kedudukan kewangan pelanggan perlu dilakukan bagi memastikan mereka mempunyai keupayaan untuk membayar hutang dalam tempoh yang dipersetujui.

Tempoh kredit juga perlu dihadkan. Semakin pendek tempoh kredit, semakin baik kesannya terhadap aliran tunai. Malah, perniagaan boleh mengehadkan jualan kredit kepada sebahagian daripada jumlah jualan, contohnya 30 peratus dibayar secara tunai manakala bakinya diberikan tempoh kredit.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, perniagaan boleh mendapatkan kemudahan kredit daripada pembekal dan cuba menyelaraskan tempoh kredit yang diterima dengan tempoh kredit yang diberikan kepada pelanggan. Jika tempoh ini dapat dipadankan, perniagaan sebenarnya menjalankan operasi menggunakan modal kerja yang disediakan oleh pembekal.

Lebih baik lagi sekiranya pembelian dibuat secara kredit manakala jualan dilakukan sepenuhnya secara tunai. Ini bermakna terdapat lebihan tunai yang boleh digunakan sebagai modal kerja sebelum tiba masanya untuk menjelaskan hutang kepada pembekal.

Bagi pembelian aset jangka panjang pula, sebaik-baiknya pembiayaan dibuat melalui pinjaman jangka panjang. Langkah ini dapat mengurangkan tekanan aliran keluar tunai kerana manfaat daripada aset tersebut juga diperoleh secara berperingkat dan bukannya sekaligus.

Modal kerja perlu diuruskan secara proaktif dan tidak dibiarkan ditentukan oleh pihak luar. Ini termasuk mewujudkan polisi kredit yang jelas serta mengehadkan jualan kredit kepada pelanggan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Tempoh kredit juga perlu ditetapkan berdasarkan jumlah jualan dan kemampuan modal kerja yang dimiliki.

Sekiranya kedudukan aliran tunai dijangka menjadi ketat, perniagaan perlu mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan sebelum masalah berlaku. Langkah ini dapat membantu memastikan kelancaran operasi perniagaan.

Walaupun terdapat kos pembiayaan yang perlu ditanggung, sokongan dana tersebut membolehkan perniagaan terus beroperasi ketika berdepan cabaran kekurangan modal.

Akhir sekali, individu yang dipertanggungjawabkan menguruskan modal kerja perlu mempunyai pengetahuan asas kewangan. Mereka juga perlu memiliki kemahiran berunding dengan pembekal dan pelanggan.

Tanpa kemahiran tersebut, polisi yang diwujudkan hanya akan kelihatan baik di atas kertas, tetapi gagal membantu perniagaan mengelakkan masalah kekurangan dana atau krisis aliran tunai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!