Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi Isnin

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin. - Gambar hiasan
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin di tengah-tengah sentimen pasaran yang lebih cenderung kepada pertumbuhan ekonomi dan ini boleh menjejaskan pendirian bank pusat serantau terhadap dasar monetari, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.17 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.4090/4220 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Jumaat 4.4000/4025.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid bagaimanapun berkata, ringgit seharusnya kekal stabil sekitar RM4.40 hari ini dengan kecenderungan untuk terus meningkat..

"Pengeluaran data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku 1S 2023 China pada Selasa mungkin boleh melonjakkan sentimen berdasarkan anggaran konsensus kerana aktiviti ekonomi bagi suku pertama dijangka meningkat kepada 4.0 peratus.

"Sokongan daripada ekonomi China berikutan kelonggaran langkah COVID-19 sejak akhir tahun lalu akan membantu menyokong industri berkaitan pelancongan di rantau Asia,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata pertumbuhan KDNK Singapura menunjukkan kemerosotan -0.7 peratus suku ke suku pada S1 2023 berbanding pengembangan 0.1 peratus sebelum ini.

"Ini menunjukkan ketidaktentuan terhadap prospek global telah menjejaskan ekonomi Asia.

"Walau bagaimanapun, bank pusat serantau mungkin tidak boleh sewenang-wenang mengubah pendirian mereka kerana imbangan risiko kepada pertumbuhan agak stabil pada masa ini. Ini boleh membantu ekonomi Asia dan seterusnya menyokong mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2970/2995 daripada 3.3208/3229 pada penutup Jumaat, meningkat kepada 4.8445/8478 daripada 4.8660/8687 berbanding euro dan bertambah baik berbanding pound Britain kepada 5.4725/4762 daripada 5.5031/5062.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang Asean, kecuali rupiah Indonesia yang susut kepada 300.4/300.8 daripada 299.1/299.5 pada Jumaat lepas.

Mata wang tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8497/8640 daripada 12.9070/9208 pada penutup pada Jumaat, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3146/3171 daripada 3.3183/3204 dan lebih tinggi berbanding peso Filipina pada 7.96/7.97 daripada 7.97/7.98 sebelumnya. - Bernama