Pantai Timur bukan pinggiran: Membina koridor pertumbuhan ekonomi baharu

SALAH satu cabaran pembangunan Malaysia ialah memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terlalu tertumpu pada beberapa pusat tradisional sahaja.
Selepas berdekad-dekad pembangunan pesat di Lembah Klang dan koridor Pantai Barat, agenda pembangunan negara perlu bergerak kepada fasa baharu: mengaktifkan sepenuhnya potensi ekonomi wilayah yang masih belum dimanfaatkan secara optimum.
Sebagai seorang ahli akademik yang berasal dari Pantai Timur, saya melihat perkara ini bukan sekadar melalui kerangka pembangunan wilayah, tetapi juga berdasarkan realiti masyarakat yang telah lama menyaksikan jurang peluang ekonomi, pekerjaan berkemahiran tinggi dan pelaburan strategik antara Pantai Timur dengan pusat pertumbuhan utama negara.
Atas sebab itu, penekanan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang lebih dikenali sebagai Dr Sam, terhadap pembangunan strategik Pantai Timur dalam perbahasan Belanjawan 2027 baru-baru ini wajar diberikan perhatian serius.
Saya menyokong gagasan yang dikemukakan oleh beliau, bukan semata-mata kerana ia menyentuh negeri-negeri Pantai Timur, tetapi kerana cadangan tersebut mempunyai asas ekonomi yang munasabah dan berpotensi memperluaskan sumber pertumbuhan negara.
Pantai Timur tidak seharusnya terus dilihat sebagai wilayah yang menunggu limpahan pembangunan dari pusat, sebaliknya perlu dibangunkan sebagai salah satu enjin pertumbuhan Malaysia.
Pahang, Terengganu dan Kelantan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. Pahang memiliki ekosistem petrokimia dan kimia di Gebeng serta Pelabuhan Kuantan.
Terengganu mempunyai asas minyak dan gas, petrokimia, kejuruteraan luar pesisir dan industri maritim, khususnya sekitar Kerteh dan Kemaman. Kelantan pula memiliki potensi dalam sektor marin, perikanan, pemprosesan makanan dan perusahaan halal termasuk di Tok Bali dan Pasir Mas.

Persoalan utama ialah bagaimana kekuatan-kekuatan ini dapat disambungkan. Selama ini, pembangunan wilayah sering berlaku secara sektoral. Pelabuhan dibangunkan sebagai pelabuhan, kawasan industri dirancang sebagai kawasan industri, manakala projek pengangkutan dilihat semata-mata sebagai projek mobiliti.
Pendekatan sebegini tidak semestinya menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang maksimum.
Apa yang diperlukan ialah pendekatan berasaskan ekosistem dan rantaian nilai. Dalam konteks inilah saya melihat cadangan Dr Sam supaya Kuantan, Kemaman dan Tok Bali diposisikan sebagai tiga nod maritim yang saling melengkapi sebagai suatu cadangan yang strategik.
Penyepaduannya dengan kawasan perindustrian serta jaringan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) boleh membentuk koridor ekonomi yang jauh lebih tersusun.
Dr Sam secara khusus menggesa supaya Pelan Pembangunan ECER 2026–2030 memberikan keutamaan kepada penyepaduan tiga nod tersebut. Dari perspektif ekonomi wilayah, jaringan pengangkutan hanya benar-benar transformatif apabila ia mampu mengubah lokasi dan corak aktiviti ekonomi.
Kereta api semata-mata tidak mencipta kemakmuran. Pelabuhan sahaja juga tidak menjamin limpahan pembangunan kepada rakyat setempat.
Nilai sebenar terhasil apabila infrastruktur tersebut menarik aktiviti pembuatan, logistik, pergudangan, perkhidmatan profesional, industri sokongan serta penyertaan perusahaan tempatan.
Sebab itulah ECRL perlu dilihat lebih jauh daripada fungsi memindahkan penumpang atau kargo. ECRL berpotensi menjadi tulang belakang kepada geografi ekonomi baharu Malaysia, khususnya jika pembangunan di sepanjang laluannya dirancang bersama pelabuhan dan kluster industri Pantai Timur.
Bayangkan satu rantaian ekonomi Pantai Timur yang lebih tersusun. Produk industri dari kawasan Kuantan boleh bergerak dengan lebih cekap. Kemaman dan Kerteh boleh diperkukuh sebagai pusat industri tenaga, kejuruteraan dan perkhidmatan maritim.
Tok Bali pula boleh berkembang sebagai simpul industri marin, perikanan, pemprosesan makanan serta perdagangan serantau.
Apabila sistem ini disambungkan, setiap wilayah tidak lagi bergerak atau bersaing secara bersendirian. Sebaliknya, kekuatan satu kawasan melengkapkan kawasan yang lain.
Prestasi ECER sebelum ini menunjukkan bahawa asas tersebut sudah wujud. Sepertimana yang ditegaskan oleh Dr Sam, Pelan Induk ECER 2.0 bagi tempoh 2018 hingga 2025 mencatatkan RM55 bilion pelaburan direalisasikan berbanding sasaran RM49 bilion serta mewujudkan lebih 79,000 peluang pekerjaan. Pelaburan direalisasikan pada 2025 pula adalah sekitar RM10 bilion.
Namun begitu, ukuran kejayaan fasa seterusnya tidak boleh sekadar jumlah pelaburan. Kita perlu bertanya berapa banyak nilai tambah kekal dalam ekonomi tempatan, berapa ramai tenaga mahir tempatan menerima manfaat, berapa banyak perusahaan kecil dan sederhana memasuki rantaian bekalan serta sejauh mana aktiviti ekonomi tersebut meningkatkan produktiviti dan pendapatan isi rumah.
Pertumbuhan berkualiti perlu mewujudkan economic stickiness, iaitu pelaburan yang membina ekosistem ekonomi tempatan dan bukannya aktiviti yang mudah berpindah selepas insentif berakhir.
Oleh sebab itu, cadangan pembangunan industri hiliran yang dibangkitkan oleh Dr Sam juga penting. Antara sektor yang boleh diberikan perhatian ialah pembuatan komponen marin, pembinaan dan pembaikan kapal, pemprosesan makanan, logistik dan tenaga baharu.
Saya khususnya bersetuju bahawa Pantai Timur tidak boleh sekadar menjadi lokasi pengeluaran sumber mentah. Nilai sebenar pembangunan hanya dapat dimaksimumkan apabila lebih banyak aktiviti hiliran, penyelidikan, teknologi, kemahiran dan pemilikan perusahaan tempatan diwujudkan di wilayah tersebut.
Inilah perbezaan antara membina infrastruktur dengan membina ekonomi. Infrastruktur ialah prasyarat; ekosistem industri ialah hasil yang mesti dikejar.
Dalam jangka panjang, strategi ini turut mempunyai dimensi sosial.
Ketidakseimbangan wilayah mendorong ramai anak muda Pantai Timur berhijrah ke Lembah Klang dan bandar-bandar utama untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik.
Sebagai anak Pantai Timur sendiri, saya melihat pembangunan wilayah yang sebenar ialah apabila generasi muda mempunyai pilihan untuk membina kerjaya profesional dan kehidupan berkualiti di negeri sendiri tanpa perlu berhijrah semata-mata kerana kekurangan peluang.
Pada masa yang sama, pembangunan juga tidak boleh mengulangi kelemahan model lama yang mengejar pelaburan tanpa mengambil kira alam sekitar, ketahanan komuniti dan pembangunan bakat.
Industri marin, petrokimia, tenaga dan logistik perlu diseimbangkan dengan piawaian alam sekitar, latihan kemahiran serta penyertaan masyarakat setempat.
Justeru, saya menyokong seruan Dr Sam supaya pembangunan Pantai Timur diberikan kedudukan lebih strategik dalam perancangan ekonomi negara.
Sokongan ini harus dilihat sebagai sokongan terhadap suatu gagasan pembangunan yang mempunyai merit ekonomi dan kepentingan nasional.
Kuantan, Kemaman dan Tok Bali tidak sepatutnya dianggap sebagai lokasi di pinggiran pusat ekonomi negara. Ketiga-tiganya berpotensi menjadi sebahagian daripada koridor maritim dan industri strategik Malaysia.
Apabila ECRL, pelabuhan, industri, perusahaan tempatan dan modal insan disepadukan melalui satu perancangan yang konsisten, Pantai Timur bukan sahaja mampu mengejar pembangunan wilayah lain. Ia boleh membantu mencipta gelombang pertumbuhan baharu untuk seluruh Malaysia.
Saya percaya sudah tiba masanya Pantai Timur tidak lagi dibicarakan sebagai pinggiran pembangunan. Ia mesti ditempatkan sebagai sebahagian daripada masa depan ekonomi Malaysia.
Dalam konteks itu, gagasan yang dibawa Dr Sam wajar disambut, diperhalusi dan diterjemahkan ke dalam dasar yang berani serta pelaksanaan yang konsisten.
*** DR HUSSAIN YUSRI ZAWAWI ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
