Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit susut berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga Selasa. - Gambar hiasan
Ringgit susut berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga Selasa. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Selasa, menjelang pengumuman laporan inflasi AS, esok.

Pada jam 9.27 pagi, ringgit susut kepada 4.4370/4395 berbanding dolar AS daripada akhir urus niaga Isnin pada 4.4360/4380.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur lebih berpendirian untuk menunggu petunjuk seterusnya dan hanya membuat keputusan sewajarnya berdasarkan pengumuman data penting dalam masa terdekat ini.

"Atas alasan itu, gandingan dolar AS/ringgit diunjur tidak berubah pada paras RM4.43 yang agak hampir dengan paras sokongan semasa iaitu RM4.42.

"Bagi membolehkan dolar AS/ringgit bergerak ke paras sokongan, ia memerlukan petunjuk seterusnya iaitu kemungkinan Rizab Persekutuan AS mengubah pendirian monetari yang bergantung kepada laporan inflasi April diumumkan pada Rabu," katanya kepada Bernama.

Bagi Malaysia, data yang menjadi tumpuan adalah Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) bagi Mac 2023.

"Kami menjangkakan pertumbuhan itu sebanyak 2.7 peratus, lebih perlahan daripada 3.6 peratus berikutan pengeluaran industri berorientasikan eksport mungkin tidak sebegitu memberangsangkan," kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain pada 5.5964/5995 daripada 5.6084/6110 pada Isnin; mengukuh berbanding euro kepada 4.8772/8799 daripada 4.8960/8982 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2833/2854 daripada 3.2854/2872.

Unit tempatan itu bagaimanapun mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Ia mengukuh pada 3.3472/3496 berbanding dolar Singapura daripada 3.3489/3507 dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 301.5/301.9 daripada 301.5/301.8.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding baht Thailand kepada 13.1420/1545 daripada 13.1184/1302 namun mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.99/8.00 daripada 8.02/8.03. - Bernama