Nestlé salur produk lebih RM7 juta sejak 2020

KUALA LUMPUR – Produk makanan dan minuman bernilai lebih RM7 juta telah disalurkan kepada komuniti memerlukan di seluruh negara menerusi kerjasama antara Nestlé Malaysia dan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) sejak lima tahun lalu.
Kerjasama yang bermula pada 2020 itu menyaksikan pelbagai produk makanan dan minuman Nestlé disalurkan kepada golongan memerlukan menerusi program bantuan kemanusiaan dan pengagihan semula makanan, sekali gus membantu meningkatkan keselamatan makanan selain mengurangkan pembaziran dalam rantaian bekalan makanan.
Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baharu selama tiga tahun antara kedua-dua pihak pula mencerminkan komitmen berterusan untuk memperluas impak sosial yang telah dicapai sepanjang tempoh berkenaan, dengan tumpuan kepada usaha menangani ketidakjaminan makanan dan memperkukuh amalan pengagihan semula makanan secara lebih tersusun.
Sempena pemeteraian MoU berkenaan, sukarelawan Nestlé Malaysia bersama YFBM menyediakan 800 pek bantuan makanan dan nutrisi untuk keluarga di kawasan pedalaman Tumpat dan Jeli, Kelantan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula penghujung tahun ini.
Pek bantuan tersebut mengandungi produk Nestlé termasuk MILO, EVERYDAY, MAGGI, NESCAFÉ, NESTUM dan bijirin KOKO KRUNCH, dan merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Banjir Seluruh Negara Nestlé Malaysia yang dilaksanakan setiap tahun bagi membantu komuniti terpencil mendapatkan bekalan keperluan asas sebelum cuaca buruk menjejaskan akses penghantaran bantuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, kerjasama dengan YFBM mencerminkan komitmen syarikat untuk menjana nilai bersama dengan memberi impak positif kepada masyarakat serta memastikan lebihan produk yang masih berkualiti dapat dimanfaatkan sebaiknya.
"Perjanjian baharu ini memperkukuh kerjasama sedia ada dan menyediakan platform yang lebih kukuh untuk kami terus memperluaskan sokongan kepada komuniti yang memerlukan.
"Dengan musim tengkujuh yang bakal tiba, tindakan awal amat penting khususnya bagi komuniti yang mungkin lebih sukar dihubungi apabila keadaan cuaca bertambah buruk," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, inisiatif itu turut membantu memastikan keluarga di kawasan terpencil mempunyai bekalan makanan dan minuman berkhasiat yang mencukupi sepanjang musim tengkujuh, selain memperkukuh daya tahan komuniti berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YFBM, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin berkata, bantuan makanan akan menjadi lebih berkesan apabila dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Menurut beliau, kerjasama antara sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan membolehkan sumber makanan, tenaga sukarelawan serta rangkaian pengagihan digembleng dengan lebih berkesan, selain membantu mengurangkan pembaziran makanan melalui pengagihan semula produk yang masih elok dan selamat dimakan.
Kerjasama itu turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), termasuk SDG 2 (Kelaparan Sifar), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan Iklim) menerusi usaha meningkatkan akses kepada makanan, mengurangkan pembaziran serta mengelakkan pelepasan gas rumah hijau daripada sisa makanan.
MoU baharu itu termasuk pelaksanaan program bantuan musim tengkujuh dan pengagihan semula makanan kepada komuniti di pulau serta kawasan pedalaman. Di bawah perjanjian itu, Nestlé Malaysia akan terus menyediakan lebihan produk berkualiti tinggi yang masih sesuai untuk dimakan, manakala YFBM menyelaras pengagihan bantuan kepada penerima secara selamat dan bertanggungjawab.
Inisiatif berkenaan juga merupakan sebahagian daripada program Nestlé Sayang Komuniti yang menggalakkan penglibatan aktif warga kerja syarikat dalam aktiviti kemasyarakatan dan kelestarian alam sekitar di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
