Kesan sampingan perintah berkurung di rumah

Anggota tentera mengawal pergerakan keluar dan masuk para penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion hari ini. - Foto Bernama
Anggota tentera mengawal pergerakan keluar dan masuk para penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PAGI Isnin pertama kali saya membebaskan diri dari kurungan setelah masuk minggu keempat memerap di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bukan sengaja melanggar peraturan pihak berkuasa tetapi terpaksa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan susulan bulanan yang telah diatur sejak sebelum PKP.

Suka dapat keluar tetapi sedih dan terkejut sakan kerana koronavirus (Covid-19) telah menukar suasana keliling, semuanya bertukar 360 darjah.

Pagi awal minggu, hari kerja, jalan raya lenggang. Biasanya dari rumah saya ke Lebuhraya Persekutuan mengambil masa tidak kurang setengah jam, tapi sekarang tidak sampai lima minit. Hatta di hadapan Sunway Piramid yang biasanya sesak 24 jam pun hanya ada sebuah dua kenderaan.

Memasuki lebuh raya keadaan lebih lenggang, tiada kesesakan seperti hari-hari biasa. Anak sulung saya yang drebar tidak rasmi memandu tenang melewati beberapa sekatan polis.

Selalunya mengambil masa sejam untuk ke hospital, pagi itu tidak sampai 15 minit sudah tiba.

Hospital pun sepi, biasanya ada beratus pesakit berasak dan berbaris di ruang menunggu. Kali ini, hanya ada saya dan seorang dua pesakit. Saya diberitahu rawatan klinik tidak dibuka seperti biasa kerana semua kakitangan hospital menumpukan tugas menangani Covid-19.

Baik para doktor, jururawat dan petugas-petugas barisan hadapan yang lain semua gigih dan sabar menangani dan melayan pesakit. Ada keletihan di wajah tetapi mereka tetapi tersenyum mesra, membantu apa yang terdaya.

Artikel Berkaitan:

Sama ada beruniform atau tidak inilah petugas barisan hadapan yang melaksanakan tanggungjawab murni sepanjang masa, meninggalkan keluarga untuk berbakti kepada pesakit. Saya tabik pada mereka.

Kesan PKP

Berbalik kepada PKP, fikir punya fikir ada juga hikmahnya. Memanglah sakit hati kerana ada sesetengah yang degil dan menyanggah pihak berkuasa. Ada yang marah-marah pada polis, ramai yang ditangkap kerana kurang ajar.

Tetapi hikmah di sebalik PKP ialah orang jahat pun tidak bergiat seperti biasa. Peragut, pencuri, kaki pecah rumah, kaki curi motor tidak aktif. Mereka pun berkurung.

Polis beritahu sejak PKP dilaksanakan kadar jenayah di seluruh negara menurun 70 peratus. Penjenayah pun tidak boleh cari makan!

Di rumah saya pun banyak perkara bermanfaat kerana semua orang berkurung. Dapur saya aktif sepanjang masa.

Inilah masanya anak gadis saya yang dua orang itu belajar macam-macam masakan daripada ibu dan bibik. Boleh dikatakan setiap hari ada resipi baru di meja makan.

Ada macam-macam kuih muncul waktu-waktu seperti ini. Saya ingat sekiranya PKP dilanjutkan lagi puteri-puteri saya belajar banyak masakan dan boleh bukan restoran apabila keadaan pulih nanti.

Saya percaya di rumah-rumah lain pun suri menjadi lebih kreatif mencipta dan mencuba pelbagai masakan baru untuk mengisi waktu yang banyak terluang.

Seperti yang dilaporkan media lain negara lain pula kesan perintah berkurung. Di China berkurung di rumah mendatangkan kesan negatif keluarga.

Seperti diberitakan oleh sebab suami yang selalu bekerja kini duduk di rumah sepanjang 24 jam para isteri semakin bosan, lebih-lebih lagi suami yang tidak tahu buat kerja lain kecuali makan dan tidur.

Kerana bosan terjadilah pertengkaran antara suami-isteri, ada yang melarat hingga menimbulkan kesan buruk. Menurut laporan selepas tamat tempoh berkurung Negara Tembok Besar itu mencatatkan rekod penceraian tertinggi.

Harap-harap di tempat kita memerap di rumah tidak meningkatkan kecenderungan untuk suami-isteri bergaduh.

Memang ada sesekali saya mendengar jiran meninggikan suara sesama suami isteri. Tetapi kalau setakat suami komplen isteri masak terlebih garam itu tidak akan berlarutan sehingga terpaksa merujuk ke pejabat agama.

Sebaliknya saya lebih tertarik dengan andaian seorang pegawai daripada LPPKN yang menjangka perintah duduk di rumah ini mungkin boleh meningkatkan kadar kelahiran dalam kalangan pasangan.

Almaklumlah masa berkurung sentiasa berdekatan – tidak ada penjarakan sosial – selalu jeling-menjeling, tepuk-menepuk, tidak menghairankan emosi cepat terangsang...

Ada pun dalam bab ini saya tidak berkenaan!

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah