Tiada unsur rasuah, SPRM arah DBKL perkukuh kawal selia pembangunan kolam takungan air

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengingatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memperketat pemantauan dan kawal selia projek pembangunan berhampiran kolam takungan air bagi memastikan semua syarat dan spesifikasi yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak kontraktor.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, peringatan itu telah diberikan pada tahun 2023 setelah didapati tiada elemen rasuah yang dikenal pasti dalam siasatan ke atas kelulusan projek pembangunan berhampiran kolam takungan air itu.
Menurutnya, sekiranya berlaku sebarang pelanggaran syarat atau pembangunan yang menjejaskan fungsi kolam takungan air, maka perkara itu berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan serta memberi penjelasan memandangkan aspek pemantauan, kawal selia dan kelulusan pembangunan adalah di bawah bidang kuasa DBKL.
"SPRM sebelum ini telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan proses kelulusan beberapa projek pembangunan yang dikatakan menjejaskan fungsi kolam takungan air di sekitar Kuala Lumpur.
“Pada tahun 2022, SPRM telah membuka kertas siasatan susulan aduan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan beberapa pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur (JPSKL) bagi tempoh antara tahun 2015 hingga 2021," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, antara dakwaan yang disiasat termasuk penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara termasuk di Taman Wahyu bagi tujuan pembangunan.
Jelasnya, SPRM telah menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan dokumen dan keterangan yang diperoleh sebelum kertas siasatan dilengkapkan pada tahun 2023 dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Bagaimanapun, berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, tiada unsur rasuah dikenal pasti dan kes telah diputuskan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA),” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
