E-waste: Kelemahan tatakelola buka ruang jenayah rasuah - SPRM

PUTRAJAYA – Kelemahan tatakelola yang tidak ditangani dengan baik akan membuka ruang kepada perlakuan jenayah rasuah serta pengimportan haram sisa elektronik (e-waste) untuk terus berulang.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi perhatian serius terhadap isu kelemahan tatakelola dalam pengurusan sisa elektronik (e-waste) berikutan pelaksanaan Op Nature yang dijalankan serentak di Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.
Operasi itu masing-masing dijalankan SPRM Selangor dan SPRM Negeri Sembilan pada Selasa.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, selain siasatan berkaitan kesalahan jenayah rasuah, aspek tatakelola ditumpukan bagi mengenal pasti punca dan kelemahan yang menyumbang kepada isu pengurusan e-waste.
“SPRM telah membuka kertas penyiasatan tatakelola bagi meneliti punca dan mencari kaedah terbaik untuk mengelakkan isu ini berlarutan.
"Ia bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah turut merugikan hasil pendapatan negara,” katanya.
Tambahnya, antara isu awal yang dikenal pasti ialah berkaitan aspek pemantauan dan tindakan susulan terhadap pengurusan e-waste. Bagaimanapun, ia hanya dapat disahkan selepas penyiasatan tatakelola yang lengkap diselesaikan.
Tegas beliau, SPRM tidak menolak kemungkinan isu sama berlaku di negeri-negeri lain dan penyiasatan tatakelola akan diperluaskan ke seluruh negara sekiranya terdapat keperluan.
"SPRM akan bekerjasama rapat dengan agensi berkepentingan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pasukan Petugas Khas E-Waste yang dipengerusikan oleh Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM).
"SPRM berharap setiap agensi yang terlibat dapat memainkan peranan dengan lebih tegas berdasarkan bidang kuasa masing-masing," ujarnya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, hasil risikan mendapati dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena mengandungi e-waste telah diseludup masuk melalui pelabuhan utama negara.
Menurut Ahmad Khusairi, syarikat-syarikat yang terlibat dipercayai dimiliki oleh warga asing dan mengimport sisa elektronik, plastik serta kertas untuk diproses bagi tujuan kitar semula.
Baru-baru ini, SPRM telah mencadangkan moratorium enam bulan sebagai langkah percubaan untuk melihat implikasi sebenar terhadap ekonomi, alam sekitar serta sistem penguatkuasaan negara.
Ringkasan AI
- Kelemahan tatakelola boleh membuka ruang kepada rasuah dan pengimportan haram e-waste
- SPRM memberi perhatian terhadap isu pengurusan e-waste menerusi Op Nature
- Azmi Kamaruzaman berkata siasatan tumpu pada punca dan kelemahan pengurusan e-waste
- Penyiasatan tatakelola dibuka untuk mengelakkan isu pengurusan e-waste berlarutan
- SPRM bekerjasama dengan agensi berkepentingan untuk mengatasi isu e-waste
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

