SPRM, Kerajaan Selangor perkukuh kerjasama strategik

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkasakan agenda integriti, tadbir urus baik dan pencegahan rasuah.
Ia selepas kunjungan delegasi SPRM Selangor diketuai Pengarahnya, Mohd Azwan Ramli bersama pegawai-pegawai kanan di Pejabat Menteri Besar Selangor di sini, Rabu lalu.
Menurut Mohd Azwan, kunjungan hormat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh jalinan kerjasama dua hala khususnya dalam aspek pencegahan rasuah, pemantapan integriti serta pengukuhan sistem tadbir urus di peringkat Kerajaan Negeri Selangor.
"Selain itu, pertemuan ini turut menjadi platform perbincangan dan pertukaran pandangan berkaitan usaha-usaha meningkatkan kesedaran integriti serta pelaksanaan program pencegahan rasuah.
"Ini juga di samping penambahbaikan mekanisme governans yang telus dan berakauntabiliti dalam pengurusan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor," katanya.
Tambah Mohd Azwan, antara manfaat utama kunjungan hormat ini ialah memperkukuh komitmen bersama dalam membudayakan integriti, meningkatkan keberkesanan kerjasama strategik antara SPRM dan Kerajaan Negeri Selangor.
Jelasnya, hubungan strategik dua hala ini juga menyokong aspirasi negeri ke arah pentadbiran yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.
"SPRM Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor atas kesudian menerima kunjungan hormat ini serta sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa integriti dan governans di Negeri Selangor," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
