Budak tiga tahun ditemui terapung bawah rumah

SANDAKAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemukan terapung di bawah rumah di Kampung Air, Jambatan 4, Jalan Bokara, di sini pada Ahad lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.50 petang, selepas ditemukan terapung kira-kira jam 2.10 petang.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama neneknya di Kampung Air berikutan ibu bapanya bekerja di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pada hari kejadian, mangsa ditinggalkan bersama moyangnya yang uzur dan tidak mampu berjalan serta tiga kanak-kanak lain berusia 10, enam dan satu tahun.
"Mangsa kali terakhir dilihat sedang tidur di dalam rumah kira-kira jam 2 petang sebelum ditemukan terapung di kolong rumah kira-kira 10 minit kemudian.
"Bagaimanapun, tiada saksi yang melihat bagaimana mangsa boleh masuk ke dalam air," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati jambatan di kawasan berkenaan tidak mempunyai pagar atau sebarang penghadang keselamatan.
"Manakala pintu rumah tidak dikunci dan boleh dibuka sendiri oleh mangsa," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
