Gas Malaysia beri rebat RM100, tangguh bil peruncitan dan hotel

GAS Malaysia Bhd memberi rebat berjumlah RM100 untuk setiap pelanggan bagi tempoh April hingga September 2020 membabitkan pengguna yang mendiami unit kediaman kos rendah. FOTO: Sumber Internet
GAS Malaysia Bhd memberi rebat berjumlah RM100 untuk setiap pelanggan bagi tempoh April hingga September 2020 membabitkan pengguna yang mendiami unit kediaman kos rendah. FOTO: Sumber Internet
A
A
A

GAS Malaysia Bhd memberi rebat berjumlah RM100 untuk setiap pelanggan bagi tempoh April hingga September 2020 membabitkan pengguna yang mendiami unit kediaman kos rendah.

Rebat itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 pelanggan syarikat itu yang menetap di rumah pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Wangsa Maju serta Pangsapuri Putra Harmoni di Putrajaya.

Dalam tempoh terbabit, semua bacaan meter dan keluaran bil oleh Gas Malaysia akan dihentikan untuk sementara waktu.

Bagaimanapun, bacaan meter pada Oktober 2020 akan mengambil kira rebat itu dan diperincikan dalam bil pelanggan, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Gas Malaysia yang juga anggota MMC Group akan turut menghentikan sementara bacaan meter dan pengeluaran bil untuk pelanggan kategori peruncitan komersial dan hotel bagi tempoh April hingga Jun 2020.

Usaha bacaan meter sebenar akan disambung semula pada Julai dan berdasarkan unit sebenar kegunaan gas bagi tempoh berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, langkah-langkah itu bertujuan mengurangkan caj bulanan gas serta memberi kemudahan untuk pelanggan mengharungi tempoh sukar akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Gas Malaysia akan turut mengecualikan caj gas untuk semua hospital-hospital kerajaan yang menggunakan gas asli bagi tempoh enam bulan pada April hingga September 2020.

Artikel Berkaitan:

“Kami menghargai usaha gigih dan keazaman petugas kesihatan di barisan hadapan dan pengorbanan mereka demi melindungi negara pada masa ini,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi Unit Khidmat Pelanggan di talian 1-300-88-4276 atau di www.gasmalaysia.com. - Bernama