Mangsa panah petir sempat pulang jumpa ibu

Hasnira menunjukkan gambar arwah Idrus yang maut akibat terkena panahan petir.
Hasnira menunjukkan gambar arwah Idrus yang maut akibat terkena panahan petir.
A
A
A

SIK - Lelaki yang maut dipanah petir dalam kejadian ribut di Kampung Hujung Bechah di sini kelmarin sempat bertanya khabar kepada ibunya yang cedera kerana dihempap buah kelapa.

Kakak mangsa, Hasnira Ahmad, 47, berkata, sebelum kejadian itu adiknya, Idrus Ahmad, 35, terlebih dulu masuk ke dalam rumah untuk menjenguk ibu mereka, Sopiah Ahmad, 67, sebelum menemui rakannya, Mohd Zulkifli Kasim, 46, yang sedang duduk di sebuah bangsal di luar rumah mereka.

"Lepas tengok mak, dia keluar balik. Tak sangka itu perbualan terakhir antara arwah adik dan mak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Hujung Bechah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang kelmarin, bapa mangsa, Ahmad Awang Kechil, 77, yang baru pulang dari kandang lembu menemui Idrus dan rakannya maut akibat dipanah petir ketika berada di bangsal tersebut.

Hasnira menunjukkan lokasi adiknya ditemui kaku di Kampung Hujung Bechah semalam.
Hasnira menunjukkan lokasi adiknya ditemui kaku di Kampung Hujung Bechah semalam.

Hasnira berkata, dua hari lalu, sikap Allahyarham adiknya itu dilihat agak 'luar biasa' sedikit kerana kelihatan begitu teruja sewaktu makan kek yang disediakan anak saudara mereka.

"Nampak dia seronok sangat dapat makan kek, selalunya biasa-biasa saja," katanya.

Sebelum itu, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Idrus dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemerlong di sini manakala jenazah Zulkifli disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Kudung petang ini.