Kumpulan jenayah terancang 'Viki Naidu' didakwa

Ketua 'Kumpulan Viki Naidu' antara 10 lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang sejak enam tahun lepas. - Foto Bernama
Ketua 'Kumpulan Viki Naidu' antara 10 lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang sejak enam tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Ketua 'Kumpulan Viki Naidu' antara 10 lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang sejak enam tahun lepas.

Tertuduh VN V Vigneswaran Naidu, 39, bersama sembilan lagi anggota kumpulan iaitu K Prabu, 30; K Ganasen, 50; SK Vinodh, 28; M Prapagaran, 33; D Entiran, 27; D Ganesan, 30; P Velmurugan, 37; SK Anandh Kumar, 28; dan G Kesavan, 32, hanya mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara serentak di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan berkenaan di daerah Kinta antara 2014 sehingga 13 Mac lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama iaitu dipenjara tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.

K. Ganesan dan Prapagaran diwakili peguam, Charan Singh dan KS Jagdave Singh manakala selebihnya tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, D Sunita Kaur Jessey dan Naidatul Athirah Azman.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dalam satu kenyataan berkata, kesemua 10 lelaki berkenaan ditahan hasil Op Cantas Subaru Kanthan yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) JSJ Bukit Aman sejak Oktober lepas. - Bernama