X

Kindly register in order to view this article
!

272 kertas siasatan ingkar PKP di Kedah

Muhammad Azlee
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 272 kertas siasatan telah dibuka oleh polis Kedah berkaitan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini sejak 18 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Muhammad Azlee Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 128 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah melibatkan 361 individu.

Katanya, walaupun pematuhan PKP di negeri ini telah mencapai 90 peratus, namun masih ada segelintir penduduk yang berkeliaran pada waktu malam.

"Mereka didapati melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Bagaimanapun, statistik tangkapan itu makin berkurangan berbanding pada peringkat awal pelaksanaan PKP pada Mac lalu," katanya ketika siaran langsung bersama Warta Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurutnya, pelbagai alasan dikemukakan kepada pihak polis oleh golongan ini antaranya keluar bertemu rakan, bosan berada di rumah dan sebagainya.

"Mengikut peraturan, orang ramai hanya boleh bergerak dalam lingkungan radius 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing ketika kawalan pergerakan dilaksanakan.

"Lagipun kita membenarkan aktiviti harian berlangsung antara jam 8 pagi hingga 8 malam. Oleh itu, penduduk dinasihatkan agar membuat perancangan sebaiknya untuk menghadkan pergerakan mereka," katanya.

Tambahnya, tempoh PKP ini juga memberi kesan positif apabila kadar jenayah di negeri ini menurun sebanyak 50.4 peratus.

"Alhamdulillah, semua daerah menunjukkan penurunan. Jenayah berlaku kerana ada peluang dan apabila kita mengadakan sekatan jalan raya, ini bermakna kita mengurangkan peluang kepada penjenayah.

"Sama juga dari segi pergerakan, sekiranya dari jam 8 malam sehingga 8 pagi, pihak polis mendapati ada orang yang keluar pada waktu itu, kita akan tangkap.

"Oleh sebab itu, tangkapan pada waktu malam yang kita lakukan ada juga bersangkut dengan kes jenayah, bukan ingkar PKP semata-mata," katanya.

Dalam pada itu Muhammad Azlee turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri dan juga masyarakat yang prihatin kepada petugas barisan hadapan.

"Ramai pihak yang menghulurkan sumbangan, ada yang hantar terus makanan kepada kami, ada yang buat pesanan melalui foodpanda dan hantar kepada petugas di sekatan jalan raya.

"Kami tidak dapat kesan siapa orangnya, tetapi kami sangat hargainya dan kami di barisan hadapan ini ikhlas bekerja dalam usaha membanteras pandemik Covid-19," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!