Lima suspek pemburu haram badak sumbu maut berbalas tembakan dengan polis

Kejadian berbalas tembakan itu berlaku berhampiran Taman Hluhluwe-iMfolozi, yang merupakan satu daripada kawasan pemuliharaan badak sumbu utama di Afrika Selatan.
Kejadian berbalas tembakan itu berlaku berhampiran Taman Hluhluwe-iMfolozi, yang merupakan satu daripada kawasan pemuliharaan badak sumbu utama di Afrika Selatan.
A
A
A

JOHANNESBURG -  Lima suspek pemburu haram badak sumbu maut dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis di Wilayah KwaZulu-Natal, Afrika Selatan pada Sabtu malam, lapor Xinhua memetik kenyataan polis pada Ahad.

Jurucakap Polis KwaZulu-Natal, Robert Netshiunda berkata, pihak polis telah melancarkan operasi sekatan jalan raya dan pemeriksaan di kawasan Hluhluwe selepas menerima maklumat risikan bahawa sekumpulan suspek akan melalui jalan R618 berhampiran sebuah rizab mergastua.

Insiden tembakan bermula sebaik sahaja suspek tiba di sekatan jalan raya berkenaan yang mengakibatkan lima suspek cedera parah dan disahkan maut di tempat kejadian, katanya.

Pihak polis turut menemukan senapang pemburu yang dilengkapi penyenyap bunyi serta dua pistol di lokasi kejadian. Tiada pegawai polis yang tercedera dalam insiden itu.

Kejadian berbalas tembakan itu berlaku berhampiran Taman Hluhluwe-iMfolozi, yang merupakan satu daripada kawasan pemuliharaan badak sumbu utama di Afrika Selatan.

Taman itu memainkan peranan penting dalam pemulihan populasi badak sumbu putih selatan, namun sering berdepan ancaman pemburuan haram yang berterusan.

Pada Februari, Jabatan Perhutanan, Perikanan dan Alam Sekitar memaklumkan bahawa negara itu mencatatkan penurunan sebanyak 16 peratus bagi kes pemburuan haram badak sumbu pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan kemajuan dalam usaha memerangi pemburuan haram dan perdagangan haram hidupan liar.

Di Wilayah KwaZulu-Natal, kes pemburuan haram badak sumbu menurun secara mendadak daripada 232 kes pada 2024 kepada 97 kes pada 2025. - Bernama 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!