Pulang ziarah kematian ibu tiri, polis bantuan maut dalam nahas bas

Seorang polis bantuan maut selepas bas ekspres dinaikinya terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh. Gambar kecil: Kamaruz Zaman dan Nor Ashikin.
Seorang polis bantuan maut selepas bas ekspres dinaikinya terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh. Gambar kecil: Kamaruz Zaman dan Nor Ashikin.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Perjalanan pulang seorang polis bantuan bersama keluarganya ke kediaman mereka di Batu Pahat selepas menziarahi kematian ibu tiri berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada Ahad.

Mangsa, Luqman Nul Hakim Halim, 37, berasal dari Kedah dan menetap di Batu Pahat, Johor, difahamkan menaiki bas bersama isterinya, Nabila, 40, serta empat orang anak mereka.

Anak saudara mangsa, Nor Ashikin Nordin, 32, memaklumkan beliau menerima panggilan berhubung kejadian itu sebelum bergegas ke Hospital Sungai Buloh.

“Pada awalnya dimaklumkan arwah belum meninggal dunia. Saya terus datang ke hospital dan diminta menunggu di zon merah kerana keadaan arwah ketika itu sangat kritikal,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Nor Ashikin berkata, berita itu amat mengejutkan memandangkan mereka tidak bertemu hampir setahun, selain keluarga baharu sahaja menerima khabar pemergian ibu tiri mangsa.

“Difahamkan doktor memaklumkan Luqman Nul Hakim mengalami kecederaan parah akibat tertusuk penghadang jalan di bahagian perut.

“Anak-anak arwah saya ambil sekejap untuk dijaga sementara isteri arwah sedang berurusan dengan pihak polis. Mereka masih kecil, yang sulung berusia 10 tahun manakala yang bongsu baru tujuh bulan,” katanya.

Suri rumah itu berkata, mangsa bekerja di Batu Pahat dan jenazah dijangka dikebumikan di Beranang, Selangor, memandangkan ahli keluarga terdekat berada di kawasan berkenaan.

“Difahamkan pengebumian akan dilakukan malam ini. Bapa arwah sedang dalam perjalanan kerana pada pagi tadi menguruskan urusan kematian ibu arwah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas keadaan emosi keluarga, beliau berkata, isteri mangsa belum sempat ditemui, manakala anak-anak mangsa kelihatan dalam keadaan baik namun masih belum memahami sepenuhnya situasi yang berlaku.

Sementara itu, seorang pembantu tadbir swasta terkejut selepas menerima panggilan telefon memaklumkan ibu bapanya turut terbabit dalam kemalangan sama.

Anak mangsa, Kamaruz Zaman Khairul Anam, 25, berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 pagi apabila ibunya, Khalijah Yahaya, 61, menghubunginya dalam keadaan cemas.

“Ibu memaklumkan ayah mengalami kecederaan di bahagian kaki selepas tersepit dan terpaksa menunggu bantuan bomba. Ibu juga mengetuk cermin bas bagi memudahkan anggota bomba memecahkan tingkap untuk menyelamatkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Kamaruz Zaman berkata, bapanya yang berusia 59 tahun kini masih dirawat di zon merah Hospital Sungai Buloh, manakala ibunya hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dibenarkan pulang.

“Ayah dijangka menjalani pembedahan dalam masa terdekat dan memerlukan tempoh pemulihan yang panjang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai berkenaan, dengan jentera tiba pada jam 5.51 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah bas ekspres dengan sebuah lori.

Beliau berkata, terdapat lima mangsa tersepit membabitkan empat penumpang bas dan seorang pemandu lori. Bas berkenaan membawa 42 penumpang termasuk dua pemandu, dengan 38 penumpang berjaya keluar dalam keadaan selamat pada jam 6.33 pagi.

Menurutnya, empat penumpang bas tersepit namun tiga berjaya dikeluarkan, manakala seorang lagi masih tersepit sebelum berjaya diselamatkan. Pemandu lori turut berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, dengan seramai 26 mangsa tidak mengalami kecederaan dan enggan dibawa ke hospital. Lapan mangsa menerima rawatan di zon hijau, empat di zon kuning dan tiga di zon merah.

Ringkasan AI

  • Polis bantuan maut dalam kemalangan bas ekspres dengan lori di Lebuhraya Utara-Selatan sambil dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat selepas menziarahi kematian ibu tiri
  • Mangsa, Luqman Nul Hakim Halim, bersama isteri dan empat anak mereka menaiki bas tersebut dari Kedah ke Batu Pahat
  • Luqman Nul Hakim mengalami kecederaan parah akibat tertusuk penghadang jalan
  • Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Beranang, Selangor dimana keluarga terdekat mangsa berada
  • Kemalangan itu turut menyebabkan beberapa penumpang lain cedera serta tersepit, termasuk pasangan suami isteri yang anaknya diberitahu melalui panggilan telefon

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!