Peniaga rugi RM24,000, ditipu penjual topeng muka

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga kerugian RM24,000 selepas 400 kotak topeng muka yang dipesan tidak diterima yang seperti dijanjikan penjual.

Mangsa berusia 31 tahun itu mendakwa, bekalan topeng muka tersebut sepatutnya diterima dalam tempoh tiga hari seperti dijanjikan namun sehingga semalam dia belum menerimanya sedangkan bayaran penuh sudah dibuat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang syak ditipu membuat laporan polis semalam selepas pihak penjual sentiasa memberi alasan atas kelewatan penghantaran produk tersebut.

Menurutnya, mangsa tertarik dengan iklan penjualan produk tersebut yang diiklankan melalui group WhatsAap selepas melayari aplikasi itu pada 24 Mac lalu.

"Mangsa berminat untuk membeli pada harga ditawarkan bagi tujuan menjualnya kembali. Selepas berurusan dengan penjualnya, mangsa membuat pesanan 400 kotak produk itu dan segera membuat bayaran pendahuluan berjumlah RM12,500 melalui akaun bank atas nama sebuah syarikat pada hari sama sebagai tanda jadi (setuju).

"Bayaran selebihnya dijelaskan pada hari berikutnya melalui akaun bank atas nama penjual itu sendiri,"katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas bayaran dijelaskan, mangsa dimaklumkan pesanannya itu akan sampai dalam tempoh tiga hari namun sehingga laporan polis dibuat semalam, mangsa masih belum menerimanya.

"Susulan laporan dibuat mangsa, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, kita turut mengesan pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan,"katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan, suspek menggunakan taktik ini untuk memperdayakan mangsa bagi mendapatkan wang sedangkan produk yang diiklan sebenarnya tidak wujud.