MPOA, MEOA gesa Sabah sambung semula operasi ladang, kilang sawit

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) menggesa pihak berkuasa negeri Sabah untuk membenarkan ladang dan kilang yang tiada kes koronavirus (Covid-19) di enam daerah untuk menyambung semula operasi.

Enam daerah itu ialah Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Kalabakan.

MPOA dan MEOA dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan yang berpanjangan merupakan kehilangan peluang sosial ekonomi, berikutan komoditi seperti minyak sawit adalah antara beberapa sektor yang dapat mengekalkan momentum ekonomi negeri.

Mereka mengulas laporan Bloomberg hari ini yang menyatakan isu berkaitan penutupan rantaian bekalan minyak sawit di enam daerah itu akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet negeri esok.

Menurut kedua-dua persatuan itu, impak ekonomi daripada penutupan tersebut termasuklah kehilangan ses kepada negeri dan banyak sampingan lain yang berkaitan, peningkatan impak ekonomi kepada masyarakat sekitar.

“Itu melibatkan kehidupan orang ramai, terutamanya di enam daerah itu, daripada pengangkut, penyedia input dan perkhidmatan, bengkel serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Katanya, kebimbangan utama daripada ramai penanam adalah berkaitan potensi peningkatan ketegangan sosial daripada penutupan yang berpanjangan.

Pada 30 Mac lepas, kerajaan Sabah mengumumkan penutupan operasi ladang dan kilang di tiga lagi daerah (Kunak, Semporna dan Kalabakan), menjadikan jumlah kawasan yang akan ditutup hingga 14 April kepada 65 peratus daripada 1.2 juta hektar kawasan penanaman. - Bernama

Artikel Berkaitan: