'Jadilah lelaki berani wahai kaum Adam...'

Noor Aziah ketika bercakap dalam Wacana Sinar Harian ke-85 bertajuk 'Nikah Ekspres: Bukan Hanya Kejar Nafsu', di Dewan Karangkraf, di sini, semalam. - Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Noor Aziah ketika bercakap dalam Wacana Sinar Harian ke-85 bertajuk 'Nikah Ekspres: Bukan Hanya Kejar Nafsu', di Dewan Karangkraf, di sini, semalam. - Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kaum lelaki perlu berani mendaftarkan perkahwinan masing-masing di Mahkamah Syariah di negara ini selepas bernikah secara ekspres di luar negara.

Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, ia bagi memastikan hak isteri terjamin jika berlaku sesuatu yang tidak diduga kemudian hari.

Walau apa pun berlaku, katanya, yang akan menjadi mangsa dalam perkahwinan ekspres itu adalah kaum wanita.

"Isteri kedua, ketiga atau keempat yang dikahwini, jika suami balik dari (nikah di) Thailand dan tak mahu mendaftarkan perkahwinan itu, isteri itu tiada hak apa-apa.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bukan semua kahwin ekspres sah]

"Saya menyeru wahai wanita... janganlah bersedia jadi isteri kedua, ketiga atau keempat dan berkahwin di negara jiran. Kahwinlah di Malaysia. Kalau dia cintakan anda, suruhlah dia mohon (kebenaran berpoligami) kepada mahkamah syariah, jadilah lelaki yang berani," katanya dalam Wacana Sinar Harian ke-85 bertajuk 'Nikah Ekspres: Bukan Hanya Kejar Nafsu', di Dewan Karangkraf, di sini, semalam

Menurutnya, banyak kes yang berlaku di negara ini melibatkan pasangan berkahwin di luar negara dan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia berdepan masalah.

"Kita ada kes di mana sampai pasangan ini sudah cerai, isteri ada sijil perkahwinan Thailand, dia kena pergi untuk mendapatkan sijil cerai sebab perkahwinan tadi itu tak berdaftar.

Artikel Berkaitan:

"Jadi perkahwinan tadi itu kena berdaftar perkahwinan dulu di Malaysia, kemudian baru dia boleh menceraikan dan sebagainya dan mendapatkan hak sebagai seorang isteri," katanya.

Walaupun perkahwinan ekspres itu cepat, namun katanya, ia mengundang banyak masalah kepada kedua-dua pihak sama ada suami atau isteri terutama dari segi nasab.

"Semua perlu ambil perhatian terhadap perkara ini kerana perkahwinan sepatutnya dimulakan dengan cara yang terbaik, mendapat doa dan berkat kedua ibu bapa.

"Bukannya berkahwin di luar dan kemudiannya balik dengan pelbagai masalah dan itu juga akan menimbulkan implikasi seterusnya, status anak, status kalau meninggal dunia, harta pusaka dan sebagainya," katanya.