Gelombang baharu skuad badminton wanita

Rexy Mainaky dan pasangan Carmen Ting dan Ong Xin Yee.
Rexy Mainaky dan pasangan Carmen Ting dan Ong Xin Yee.
A
A
A

KEGAGALAN melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Uber 2026 tidak seharusnya ditafsir sebagai satu langkah ke belakang dalam perkembangan skuad wanita negara.

Jika dinilai secara menyeluruh, pencapaian hingga ke suku akhir sebenarnya memberi gambaran nyata asas kekuatan baharu dibina dengan lebih terancang.

Malah, ia hadir pada waktu yang tepat ketika persaingan di peringkat dunia semakin sengit dan menuntut kedalaman skuad yang lebih menyeluruh.

Pandangan Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky yang melihat potensi besar dalam kalangan pemain muda bukanlah sesuatu yang dibuat tanpa sandaran.

Aksi dipamerkan ketika berdepan China memperlihatkan keberanian serta disiplin permainan yang semakin matang walaupun berdepan lawan bertaraf dunia.

Pemain seperti K Letshanaa serta pasangan Carmen Ting dan Ong Xin Yee menunjukkan peningkatan ketara dari segi keyakinan dan kawalan permainan.

Mereka bukan sahaja mampu memberi tentangan, malah berjaya memaksa lawan bermain pada tahap terbaik. Ini satu perkembangan yang jarang dapat disaksikan sebelum ini.

Dalam masa sama, ketenangan dipamerkan oleh gandingan muda Low Zi Yu dan Noraqilah Maisarah Ramdan ketika aksi getir menentang Turkiye dan Jepun memberi gambaran bahawa elemen mental yang sering dipersoalkan kini semakin kukuh.

Keupayaan mengawal tekanan dalam situasi genting menjadi petunjuk penting kepada masa depan pasukan.

Artikel Berkaitan:

Langkah berani barisan kejurulatihan memberi pendedahan kepada pemain muda, termasuk keputusan merehatkan tonggak utama juga mencerminkan pendekatan pembangunan lebih berpandangan jauh.

Ia mungkin tidak memberikan hasil segera, namun membuka ruang kepada pembentukan pasukan yang lebih seimbang dan berdaya tahan.

Dengan kesinambungan usaha ini serta kembalinya pemain utama, tidak mustahil skuad wanita negara mampu tampil sebagai pencabar lebih serius pada edisi 2028 di Jakarta, Indonesia.

Apa yang diperlukan kini ialah konsistensi dalam membina momentum dan kesabaran dalam menuai hasilnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!