Warga emas sertai himpunan tabligh di Sulawesi korban terbaharu Covid-19

Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seorang warga emas yang menghadiri perhimpunan keagamaan di Sulawesi pada pertengahan bulan lalu menjadi korban terbaharu koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 63 kes. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa merupakan kes positif ke 3,794 melibatkan lelaki berumur 71 tahun dan berasal dari Perlis.

"Dia menghadiri perhimpunan itu selama tujuh hari bermula 17 Mac dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Johor pada 5 April 2020 dan disahkan meninggal dunia jam 11 malam semalam," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 170 kes baharu.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 3,963 kes," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 92 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Daripada jumlah itu, 50 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 80 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,321 kes bersamaan dengan 33.33 peratus daripada jumlah keseluruhan," katanya.
Artikel Berkaitan:


Bersempena dengan Hari Kesihatan Sedunia hari ini, beliau mengambil kesempatan memberi penghargaan kepada petugas perubatan dan kesihatan terutamanya mereka daripada barisan hadapan memerangi Covid-19.

"Sesungguhnya kesihatan adalah tanggungjawab kita bersama kerana setiap sektor adalah sektor kesihatan. "Dalam situasi getir ini, petugas di barisan hadapan dan belakang tabir sedang bekerja bertungkus-lumus tanpa mengenal lelah namun mereka terus cekal berjuang.

"Perjuangan ini kita perlu pikul bersama sehingga kita berjaya mengakhiri penularan pandemik ini," katanya.