X

Kindly register in order to view this article
!

Bangunan Selangor Mansion, Selangor Malayan Mansion dikenakan PKPD

Bangunan Selangor Mansion dan bangunan Malayan Mansion, Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bangunan Selangor Mansion dan bangunan Malayan Mansion, Jalan Masjid India di Kuala Lumpur menjadi lokasi terbaharu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu diambil susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 15 kes baharu positif wabak koronavirus (Covid-19) dikesan di bangunan berkenaan.

"Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan keempat PKPD di bangunan berkenaan mulai hari ini sehingga proses pengesanan kes unit ke unit selesai.

"PKPD ini melibatkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan di bangunan itu," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan.

“Seperti biasa dalam prosedur operasi standard (SOP PKPD) setiap penghuni kena berada dalam unit rumah masing-masing dan mereka tidak dibenarkan keluar serta orang luar juga tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Sehubungan itu katanya, semua pihak diminta supaya mematuhi semua arahan dan SOP PKPD yang telah dikeluarkan itu.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus